Tujuh leka main judi belangkas ditahan dalam ladang sawit

Lokasi tujuh lelaki bermain judi belangkas di dalam sebuah ladang kelapa sawit di Felda Jengka 6, Bandar Pusat Jengka pada Selasa.
Lokasi tujuh lelaki bermain judi belangkas di dalam sebuah ladang kelapa sawit di Felda Jengka 6, Bandar Pusat Jengka pada Selasa.
A
A
A

MARAN - Tujuh lelaki termasuk dua warga emas ditahan ketika leka bermain judi belangkas di dalam sebuah ladang kelapa sawit di Jengka 6, Bandar Pusat Jengka di sini pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, susulan penahanan lelaki berusia 40 hingga 69 tahun itu, polis merampas wang tunai berjumlah RM4,358 disyaki wang pertaruhan.

Menurutnya, turut beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan perjudian itu.

"Kegiatan suspek yang bekerja sebagai peneroka dan bekerja sendiri itu dikesan atas maklumat berhubung aktiviti judi di tempat awam pada bulan Ramadan di lokasi tersebut.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran melakukan serbuan ke lokasi itu kira-kira jam 4.30 petang hari berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Norzamri berkata, tujuh lelaki itu didapati berkumpul dan sedang leka bermain judi belangkas.

"Semua lelaki itu ditahan manakala wang tunai dan peralatan yang digunakan dirampas sebelum dibawa balik ke IPD Maran untuk siasatan lanjut.

"Mereka kini ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,"katanya.

Tambah beliau, jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Norzamri berkata, pihaknya akan terus memantau aktiviti perjudian dan penyalahgunaan dadah di daerah Maran secara berterusan termasuk sepanjang Ramadan ini.

"Maklumat dan kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu pihak polis membanteras kegiatan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!