Gangguan elektrik di HQE: 28 pembedahan bukan kecemasan ditunda

Gangguan bekalan elektrik di HQE sejak Selasa menyebabkan 28 pembedahan bukan kecemasan yang dijadualkan pada Rabu ditunda ke tarikh lain. - Foto Facebook JKNS
Gangguan bekalan elektrik di HQE sejak Selasa menyebabkan 28 pembedahan bukan kecemasan yang dijadualkan pada Rabu ditunda ke tarikh lain. - Foto Facebook JKNS
A
A
A

KOTA KINABALU - Gangguan bekalan elektrik di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini sejak Selasa menyebabkan 28 pembedahan bukan kecemasan yang dijadualkan pada Rabu ditunda ke tarikh lain, kata Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin.

Beliau berkata, perkhidmatan dewan bedah di HQE terpaksa ditutup pada Rabu dan Khamis untuk memastikan bekalan elektrik ke wad dan unit rawatan rapi sentiasa mencukupi serta stabil, manakala kes yang memerlukan pembedahan kecemasan pula akan dilakukan di HQE II di sini.

"Pada masa ini syarikat konsesi masih berusaha untuk membaiki kabel elektrik yang rosak agar bekalan elektrik pulih seperti sediakala,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr Rose Nani berkata, gangguan bekalan elektrik itu terjadi pada jam 11.54 pagi Selasa di HQE melibatkan melibatkan menara berkembar, klinik pakar dan blok bangunan lama perubatan HQE.

"Sepanjang gangguan bekalan, dua ‘set generator’ di HQE menampung bekalan elektrik bagi bangunan terlibat. Pihak hospital, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta syarikat konsesi telah melakukan tindakan segera mendapatkan generator tambahan sebagai sokongan,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan perkhidmatan perubatan HQE tidak terjejas, pelan kontigensi telah dilakusanakan dengan memindahkan sebahagian pesakit lebih memerlukan dan kes memerlukan pembedahan kecemasan ke HQE II. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!