AIPA perlu efektif perjuang isu Palestin: Fuziah
PUTRAJAYA - Anggota Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) perlu lebih efektif memainkan peranan memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat Palestin.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata platform itu perlu digunakan sepenuhnya oleh anggota AIPA untuk membawa agenda pembebasan Palestin ke pentas dunia.
Beliau berkata anggota AIPA, khususnya dari negara-negara Islam harus memiliki kekuatan untuk bersuara, sekaligus menjadi dokongan yang kuat kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam agenda menghapuskan cengkaman rejim zionis ke atas Palestin.
"Deklarasi persidangan ini jelas menyatakan setelah sekian lama, OIC kini perlu dibantu oleh negara-negara ASEAN dalam perjuangannya mengenai Palestin.
"Kita percaya, AIPA yang sebelumnya mungkin tidak begitu lantang dalam isu Palestin boleh membawa obor ASEAN mengetuai dan melaksana agenda untuk kepentingan penduduk Palestin,” katanya. Bercakap kepada pemberita selepas menutup Persidangan NGO ASEAN Plus Mempertahankan Baitul Maqdis dan Masjid Al Aqsa di sini hari ini, Fuziah berkata berdasarkan keadaan semasa, beliau yakin usaha dan peranan AIPA akan mendapat sokongan kuat kerajaan masing-masing.
Beliau berkata langkah itu akan menjadi pemangkin kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk bergerak lebih pantas menyebar dan membangkitkan kesedaran dunia berkenaan Palestin dalam gerak kerja yang dilakukan.
Fuziah yakin tiga teras strategik itu jika digerakkan bersama mampu menjadi suara desakan yang kuat di peringkat global sekaligus membuka mata masyarakat dan pemimpin dunia mengenai nasib dan perjuangan Palestin.
"Bagi Malaysia, kami sudah ada tanda aras yang diletakkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang dan begitu berani membawa suara Palestin di pentas dunia untuk dicontohi,” katanya.
Sementara itu, persidangan dua hari yang berakhir hari ini itu menghasilkan 11 resolusi dan pelan tindakan antaranya tidak mengiktiraf sebarang cubaan mengubah status Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin dan bersolidariti dengan penduduk Palestin dalam semangat penentangan mempertahankan tanah air.
Selain itu, beberapa pelan tindakan turut dirangka untuk dilaksanakan dalam tempoh sehingga 2022, termasuk menubuhkan satu rangkaian serantau yang menumpukan kempen pembebasan Baitulmaqdis dan Al Aqsa serta melancarkan Tabung Wakaf Asean Al Qud dan Al Aqsa. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!