Baling batu nisan dalam masjid

(Gambar kiri) Batu nisan yang dipercayai dibaling dalam Masjid Al Ittihad. (Gambar kanan) Seorang lelaki dipercayai melakukan perbuatan khianat dengan membaling batu nisan dalam Masjid Al Ittihad, Sungai Kob, Kulim, di sini, pada Rabu.
(Gambar kiri) Batu nisan yang dipercayai dibaling dalam Masjid Al Ittihad. (Gambar kanan) Seorang lelaki dipercayai melakukan perbuatan khianat dengan membaling batu nisan dalam Masjid Al Ittihad, Sungai Kob, Kulim, di sini, pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR – Seorang lelaki dipercayai melakukan perbuatan khianat dengan membaling batu nisan dalam Masjid Al Ittihad, Sungai Kob, Kulim di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kejadian disedari seorang pengadu yang melakukan persiapan solat Subuh kira-kira jam 5.30 pagi.

Beliau berkata, lelaki itu terlihat ada batu nisan di bahagian saf hadapan dalam masjid berkenaan.

“Melalui pemeriksaan, tingkap cermin hadapan telah pecah akibat dibaling batu nisan dan susulan itu, satu laporan polis dibuat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, batu nisan tersebut dicabut dari tanah perkuburan Islam bersebelahan masjid terbabit.

“Kejadian berlaku sekitar jam 3 hingga 4 pagi Rabu dan suspek dipercayai seorang lelaki memakai jaket dan seluar jeans berwarna biru.

"Kita masih menyiasat motif kejadian dan ia tiada kaitan agama,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan (KK) iaitu melakukan perbuatan khianat terhadap rumah ibadat.

Orang awam memiliki maklumat berkaitan kejadian boleh terus menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kulim di talian 013-435 8399.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!