JKNP keluar 101 notis, kompaun RM12,000 dalam Operasi Ramadan

Dr Nor Azimi Yunus
Dr Nor Azimi Yunus
A
A
A

KUANTAN- Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengeluarkan 101 Notis Memerintah Kehadiran Ke Mahkamah, Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kepada pemilik premis dan pengendali makanan di bazar Ramadan di negeri ini dengan nilai kompaun RM 12,000.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, notis dikeluarkan itu hasil Operasi Ramadan sepanjang dua minggu Ramadan kali ini.

Menurutnya, pemeriksaan melibatkan gerai dan pensampelan makanan sedia untuk dimakan di 64 lokaliti bazar Ramadan dengan 2,017 premis makanan di seluruh negeri Pahang bermula pada minggu pertama Ramadan.

"Sepanjang dua minggu Ramadan berlangsung, sebanyak 1,769 gerai dan 2,961 pengendali makanan di Bazar Ramadan telah diperiksa. Antara kesalahan yang dikesan, pengendali makanan tidak memakai topi, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan dengan jumlah kompaun RM7,700.

"Turut dikesan 15 kesalahan di bawah Peraturan 33 iaitu pengendali makanan gagal memastikan kuku sentiasa pendek dan memakai perhiasan diri ketika mengendalikan makanan dengan jumlah

kompaun RM1,500," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr Nor Azimi berkata, terdapat lima kesalahan di bawah Peraturan 11 iaitu menggaji pekerja yang tiada suntikan taifoid dan tiada kursus pengendali makanan serta dua kesalahan di bawah Peraturan 34 iaitu pemilik tidak memastikan premis makanan dalam keadaan bersih.

"Selain itu terdapat satu kes dikesan di bawah Peraturan 31 iaitu pengendali gagal mendapatkan suntikan anti taifoid dan satu kesalahan di bawah Peraturan 8 iaitu pemilik gagal memperbaharui pendaftaran premis makanan dengan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Beliau berkata, tindakan yang diambil ke atas pengendali dan pengusaha itu membuktikan mereka masih lalai dalam mematuhi peraturan ditetapkan walaupun taklimat dan makluman telah diberikan sebelum bazar Ramadan beroperasi.

Sementara itu katanya, sebanyak 38 sampel makanan sedia dimakan telah diambil dan dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pahang bagi analisis mikrobiologi.

"Setakat ini, keputusan bagi 38 sampel tersebut belum diterima bagaimanapun pensampelan makanan dan pemeriksaan premis makanan akan diteruskan pada minggu-minggu berikutnya," katanya.

Selain itu menurutnya, JKNP turut melakukan pemeriksaan ke atas tujuh kilang ais di negeri ini dengan notis kompaun bernilai RM2,900 dikeluarkan.

"Sepanjang tempoh operasi Ramadan dijalankan, sebanyak 2,410 pendidikan kesihatan telah diberikan kepada 2,892 individu.

"Antara pendidikan kesihatan yang diberikan termasuklah nasihat individu dan edaran risalah bagi memastikan pengendali makanan tersebut mematuhi aspek-aspek keselamatan dan kebersihan makanan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!