Reformasi Parlimen perlu dilakukan menyeluruh

Felo Kanan Institusi Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM), Jufitri Joha.
Felo Kanan Institusi Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM), Jufitri Joha.
A
A
A

SHAH ALAM - Reformasi Parlimen perlu dilakukan secara menyeluruh demi kebebasan institusi itu yang seterusnya diyakini dapat menangani masalah ahli Parlimen melompat parti.

Felo Kanan Institusi Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM), Jufitri Joha berkata, reformasi menyeluruh Parlimen itu perlu dilakukan termasuk dengan mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen.

"Pentingnya dilakukan reformasi menyeluruh sama ada dari sudut efektif atau efisiensi Parlimen bagi memastikan persoalan (masalah) yang lebih luas dapat kita tangani terutama persoalan yang lebih mendasar.

"Akta Perkhidmatan Parlimen yang memberikan kebebasan pentadbiran dan kewangan kepada Parlimen merupakan elemen utama kepada kebebasan institusi ini apatah lagi Parlimen menjadi semak dan imbang rakyat kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Lompat Parti, Rasuah Khianat Demokrasi' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Rabu.

Turut berganding dengan beliau sebagai panelis adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Farhan Khairuddin manakala personaliti televisyen, Harleena Pahlavy bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Jufitri memberitahu, kalau ada keperluan, Dana Wang Pembangunan Bahagian Pilihan Raya yang saksama kepada semua ahli Parlimen juga perlu dibuat bagi mengelak ahli Parlimen melompat parti kerana faktor kewangan itu menjadi punca berlakunya lompat parti.

Menurutnya, dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) jelas disebutkan peruntukan sama rata diberikan kepada semua ahli Parlimen kerajaan dan PH.

Justeru itu, tegasnya, sekiranya berbicara soal keadilan sepatutnya ahli Parlimen yang tidak berada dalam MoU berkenaan turut menerima peruntukan sama.

Mengulas lanjut, Jufitri menjelaskan, pelaksanaan semula Akta Perkhidmatan Parlimen memerlukan iltizam politik dan kesungguhan kerajaan kerana jika tiada sifat itu sesuatu undang-undang walaupun telah dikaji secara mendalam tidak akan berjaya dilaksanakan sampai bila-bila seperti yang berlaku ke atas Akta Pembiayaan Politik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!