Modul khusus untuk sukarelawan hospital

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (enam,kiri) bersama para peserta Seminar Sukarelawan Peringkat Kebangsaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini. -Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (enam,kiri) bersama para peserta Seminar Sukarelawan Peringkat Kebangsaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Akademi Hospital Ibadah di Hospital Pakar Al-Islam akan menyediakan modul yang khusus untuk sukarelawan hospital bagi memastikan mereka berilmu, mematuhi panduan ziarah pesakit, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) hospital untuk mengelakkan timbul masalah kepada pesakit dan hospital.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, modul dan latihan sukarelawan berkenaan akan diperkenalkan kepada sukarelawan hospital di hospital kerajaan dan swasta.

"Sukarelawan yang menjalani latihan yang dianjurkan oleh Akademi Hospital Ibadah melayakkan mereka menjadi seorang sukarelawan yang diiktiraf," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Sukarelawan Hospital Kebangsaan di Fakulti Perubatan dan Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Jelas Timbalan Perdana Menteri, melalui latihan yang diberi berdasarkan modul yang telah tersedia, perkhidmatan yang disumbangkan oleh sukarelawan akan lebih bersistematik.

Ini dapat menarik minat masyarakat awam untuk turut sama menyumbang tenaga sebagai sukarelawan dan objektif pelaksanaan '1 Keluarga 1 Sukarelawan' berjaya dicapai," katanya lagi. Jelas Dr Wan Azizah, peranan sukarelawan hospital masih baharu di Malaysia namun di negara barat ia merupakan satu program yang berkesan dalam membantu perjalanan hospital selain memberikan impak positif kepada pesakit dan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri turut menyeru pengarah hospital dan seluruh warga kerja hospital agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada sukarelawan.

Jelasnya, selain hospital satu lagi tempat yang memerlukan sukarelawan ialah rumah jagaan orang tua. Hasil lawatannya ke sebuah rumah jagaan orang tua di Ipoh semalam mendapati hanya seorang tukang masak yang bertugas menyediakan makanan.

"Sukarelawan boleh membantu tukang masak menyediakan makanan seperti memotong dan membersihkan bahan mentah untuk dimasak," katanya lagi. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!