Kaki dipotong akibat kemalangan, bekas mekanik terima bantuan
![Simbolik penyerahan kerusi roda elektrik oleh Ahmad (dua dari kanan) diiringi Mumtaz (dua dari kiri) kepada Mohd Fauzan, (kanan).](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/04/20/1669903.jpeg)
KOTA BHARU - Seorang lelaki berdepan ujian getir apabila terpaksa memotong sebelah kaki hingga ke paras punggung selepas mengalami jangkitan kuman akibat kemalangan di Pasir Puteh pada 10 tahun lalu.
Lelaki berkenaan, Mohd Fauzan Yaacob, 37, berkata, kaki kanannya itu mengalami luka dalaman dan jangkitan kuman akibat daripada tekanan kerana tulang belakang yang lumpuh.
Mengimbau kemalangan yang berlaku pada tahun 2012 itu, bekas mekanik Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) tersebut memandu kereta jenis Honda Integra bersama seorang sepupu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Ipoh ke Pasir Puteh sempena cuti Tahun Baru Cina.
“Sampai di satu lokasi di Jeram Linang, Pasir Puteh, tayar kiri di bahagian depan pecah menyebabkan kereta dipandu terbabas.
“Saya dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selama lima bulan dan terlantar selama dua tahun kerana kecederaan tulang belakang manakala kaki kanan ini pula terpaksa dipotong pada tahun lalu akibat jangkitan kuman serta gagal diselamatkan,” katanya selepas menerima sumbangan kerusi roda elektrik pada Program Mahabbah Ramadan Orang Kurang Upaya (OKU) Kelantan 2022 di Dewan Pusat Tarbiyah Islamiah (Putik), di sini, pada Rabu.
![Mohd Fauzan Yaacob, 37, yang kudung kaki kanan akibat jangkitan kuman kerana kemalangan pada tahun 2012.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/04/20/1669904.jpeg)
Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Turut disampaikan pada majlis itu, penganugerahan Tokoh OKU Muqarrabun kepada Muhammad Khariul Amilin Hassan dan 14 tokoh OKU setiap Parlimen.
Sejak lumpuh, dia menerima pencen Ilat sebanyak RM600 sebulan dan berniaga beg terpakai di Terengganu sejak lima tahun lalu dengan bantuan isteri, Nur Syahirah Rashid, 27, juga OKU fizikal bagi menampung kehidupan mereka.
“Saya berniaga beg terpakai di pasar-pasar malam dan pagi di kampung asal isteri di Terengganu dan amat memerlukan kerusi roda elektrik ini untuk membantu memudahkan pergerakan semasa berniaga.
“Kerusi roda pemberian HUSM yang digunakan selama ini sudah uzur kerana terlalu lama dan saya amat gembira apabila terpilih untuk menerima kerusi roda elektrik yang bernilai RM1,750 daripada kerajaan negeri ini,” katanya.
Katanya, turut menerima bantuan OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 manakala isteri menerima elaun pekerja cacat sebanyak RM450.
Sementara itu, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, program pertama Infak Kerusi Roda Elektrik sebanyak 14 buah dengan kos keseluruhan RM24,500 itu adalah kesinambungan Projek Wakaf Katil yang dimulakan sejak tahun 2017.
“Program ini menyasarkan penerima dalam kalangan OKU produktif yang berdaftar dengan JKM, bekerja, pencari nafkah keluarga, berumur antara 18 sehingga 50 tahun dan pertama kali menerima kerusi ini.
“Penerima memerlukan kerusi roda elektrik bagi membantu memudahkan pergerakan dan urusan pekerjaan selain digalakkan untuk mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas menerima sumbangan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!