Dokumen bocor: Ahmad Zahid akan lapor polis
KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membuat laporan polis berhubung kebocoran dokumen didakwa mempunyai unsur campur tangan terhadap pertuduhan kes mahkamah yang dihadapinya.
Peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Presiden UMNO itu berkata, pihaknya terkejut dengan pendedahan di media sosial berhubung dokumen bocor bertajuk 'Laporan Political Engagement Pas Pusat'.
Dokumen itu mengandungi antaranya 'perlu ada campur tangan segera dalam kes mahkamah agar mempercepatkan jatuh hukum'.
Peguam itu berkata, ia jelas merujuk kepada kes mahkamah yang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
"Laporan polis mengenai perkara berkenaan akan dibuat dan kami berharap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini dengan teliti.
"Ini akan menentukan sama ada berlaku percubaan untuk menjejaskan integriti sistem kehakiman," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Untuk rekod, prosiding bela diri dengan Ahmad Zahid sebagai saksi pembelaan pertama di Mahkamah Tinggi di sini masih berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Ahli politik itu berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Ahad lalu, beberapa dokumen yang dikatakan minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN) tular di media sosial, didakwa berkaitan dengan pertemuan antara Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta beberapa pemimpin parti lain pada 24 dan 27 Mac serta 4 dan 7 April.
Antara pemimpin yang dinyatakan dalam minit itu ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Bagaimanapun pada Rabu, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas menafikan perkara itu dan menyifatkan dokumen yang ditularkan sebagai 'sampah' serta tidak perlu dipercayai kerana dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
Namun beliau mengakui pertemuan bersama pemimpin politik itu benar-benar berlangsung, tetapi ia tidak membincangkan perkara seperti yang tular.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!