Piala FA: KDA tunggu pemenang TFC, Negeri Sembilan
PUSINGAN kedua Piala FA menjanjikan saingan sengit apabila juara bertahan Kedah Darul Aman (KDA) FC diundi berdepan pemenang perlawanan antara Terengganu FC (TFC) dan Negeri Sembilan FC.
TFC pemenang dua kali Piala FA (2000, 2011) akan berdepan Negeri Sembilan FC (juara 2003, 2010) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 29 April ini selepas aksi asal 13 Mac terpaksa ditunda ekoran penularan Covid-19 dalam kalangan pegawai serta pemain Negeri Sembilan.
Untuk rekod, Kedah kendalian Aidil Sharin Sahak sebelum ini mara selepas menyingkirkan cabaran pasukan Liga M3, Sains FC, 4-0 di Stadium Darul Aman.
“Setiap pasukan adalah sama untuk kami dan sememangnya dijangka satu perlawanan yang sukar dalam aksi Piala FA.
“Saya mahu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan terlebih dahulu sebelum ingin memperkatakan harapan kami bagi pertahankan kejuaraan yang dimenangi, tiga tahun lalu,” kata Aidil Sharin pada Rabu.
Sementara itu, perlawanan derbi Lembah Klang membabitkan Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC juga tidak kurang menariknya apabila kedua-dua pasukan diundi untuk bertemu di pusingan kedua.
Perlawanan ini diibaratkan ‘buku bertemu ruas’ memandangkan Selangor FC juara lima kali dalam sejarah Piala FA (1991, 1997, 2001, 2005 dan 2009) di bawah kendalian Michael Feichtenbeiner terikat 2-2 dengan KL City (juara 1993, 1994 dan 1999) pada perlawanan pertama Liga Super sebelum ini.
“Satu lagi aksi derbi Lembah Klang dan sememangnya perlawanan ini dilihat antara paling sengit dalam jadual yang diundi kali ini.
“Pertembungan kali ini pasti berbeza berbanding semasa aksi pertama Liga Super dahulu kerana kami beberapa pemain utama sudah kembali bersama pasukan dan saya yakin KL City sudah bersedia untuk beri tentangan, ” kata pengendali KL City, Bojan Hodak.
Sementara itu, wakil tunggal Liga M3, Perlis United yang menyingkirkan PDRM FC sebelum ini berpeluang untuk terus melakar sejarah apabila diundi menentang pasukan dari Liga Premier, Kuching City FC.
“Atas kertas, Kuching City masih menjadi pilihan kerana saya lihat mereka dibarisi ramai pemain berkualiti seperti Joseph Kalang Tie serta beberapa pemain import yang lain.
“Namun bermain di laman sendiri, saya harap penyokong setia Perlis datanglah ke stadium, boleh jadi pemain ke-12 buat pasukan dalam usaha kami mencipta kejutan ke peringkat seterusnya,” kata pengendali Perlis United, Azizul Abidin.
Juara Piala FA 2016 yang juga antara pasukan pilihan kejuaraan kali ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan misi mencari kejuaraan kedua di Piala FA apabila diundi bertemu Sarawak United FC di Stadium Sultan Ibrahim.
Sementara itu, Sabah FC yang akan melayani kunjungan Kelantan United FC di Stadium Likas selain Melaka United FC berdepan PJ City FC di Stadium Hang Jebat.
Perseteruan setempat antara dua pasukan utara, Perak FC (juara 1990, 2004) dan Penang FC (juara 2002) juga dijangka hangat selain Sri Pahang FC (juara 2006, 2014, 2018) berdepan Skuad Projek FAM-MSN di Stadium Darul Makmur.
Untuk rekod, semua perlawanan pusingan kedua dijadualkan berlangsung pada 13 dan 14 Mei ini, namun tertakluk kepada perubahan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
PIALA FA PUSINGAN KEDUA
Sabah FC lwn Kelantan United
Terengganu FC/ Negeri Sembilan FC lwn Kedah Darul Aman FC
Melaka Utd lwn PJ City FC
Selangor FC lwn KL City FC
JDT lwn Sarawak United
Perlis United lwn Kuching City FC
Perak FC lwn Penang FC
Sri Pahang FC lwn Skuad Projek FAM-MSN
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!