Sarawak beri suntikan dos penggalak Covid-19 kedua mulai Jumaat
KUCHING - Sarawak akan memulakan pemberian suntikan dos penggalak Covid-19 kali kedua Jumaat ini, kata Timbalan Perdana Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Uggah berkata, terdapat dua kategori penerima yang layak menerima dos itu, iaitu individu berumur 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi serta individu yang mempunyai sistem imunisasi sederhana atau teruk berumur 12 tahun ke atas.
Beliau menggesa individu yang layak dan berminat agar menghubungi pusat vaksinasi masing-masing di klinik kerajaan, hospital swasta atau klinik swasta untuk temu janji.
"Mereka boleh mendapatkan nombor telefon pusat-pusat ini menerusi Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Sarawak,” kata Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Uggah berkat,a setakat 19 April, sebanyak 1,637,167 atau 90 peratus individu yang layak di negeri ini telah menerima dos penggalak Covid-19 masing-masing.
Pada 14 April, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, individu berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai komorbiditi berisiko tinggi kini diberi pilihan untuk mendapatkan dos penggalak kedua vaksin, dengan selang masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh vaksin pertama dos penggalak.
Menurut Khairy, keputusan itu dibuat selepas kajian saintifik dan kajian kohort Malaysia oleh panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG), yang mendapati individu berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai komorbiditi berisiko lebih tinggi mempunyai simptom yang serius dan kematian akibat Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!