Tahanan Rohingya lari ikut rakan
BANDAR BAHARU - "Kami lari kerana semua rakan melarikan diri," demikian alasan diberikan dua tahanan Rohingya yang diberkas sepasukan anggota polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) di jalan Sungai Rambai, Relau dekat sini, malam tadi.
Dua tahanan lelaki berusia lingkungan 30-an itu dikesan sekitar 9.58 malam selepas bersembunyi kira-kira 18 jam di dalam kebun kelapa sawit, terletak kira-kira 2 Kilometer dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Mereka juga mendakwa tidak terlibat dengan kumpulan yang memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang namun bertindak melarikan diri kerana ketakutan.
Kira-kira 10 anggota pasukan pencari bersama bahagian D7 bekerjasama mengesan dan menahan saki- baki etnik Rohingya di sekitar kawasan depot.
Terdahulu petugas media menerima maklumat terdapat empat tahanan Rohingya melarikan di kawasan bukit berhampiran depot tersebut.
Bagaimanapun, pencarian kira-kira sejam di kawasan semak dan berbukit itu gagal menemukan tahanan.
Sementara itu, seorang penduduk kampung Mohd Khairudin Othman, 28, mendakwa, terserempak dengan empat etnik Rohingya yang meloloskan diri dari pusat tahanan berkenaan.
Mohd Khairudin yang bekerja di sebuah kelab kuda berkata, ketika kejadian sekitar 8 malam itu, dia yang sedang melalui jalan di Lintang Relau Indah dekat sini dengan menaiki motosikal, secara tiba-tiba ditahan seorang etnik Rohingya.
Mohd Khairudin berkata, sebaik didekati, seorang tahanan mengusap perutnya memberi isyarat sedang kelaparan manakala tiga lagi tahanan menyorok dalam semak.
"Saya bimbang dicederakan mereka dan terus melaporkan perkara itu kepada anggota Imigresen di Depot Tahanan yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi penemuan," katanya.
Mohd Khairudin berharap, saki-baki tahanan Rohingya itu dijumpai dengan segera kerana bimbang akan keselamatan diri dan penduduk kampung sekiranya mereka bertindak ganas.
Menerusi tinjauan Bernama setakat pukul 10.30 malam ini, pihak berkuasa masih mengawal ketat kawasan sekitar bukit selain turut dibantu penduduk kampung.
Dalam kejadian awal pagi Rabu, seramai 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya yang merupakan tahanan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, melarikan diri dari depot tersebut.
Daripada 528 yang melarikan diri dari depot yang menempatkan 664 orang tahanan itu, seramai 357 telah dikesan semula termasuk enam yang maut selepas terlibat dalam kemalangan ketika melintas Lebuh raya PLUS di KM168 menghala selatan, berhampiran kawasan Jawi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!