Iftar Ala Madinah hidupkan sunnah Rasulullah SAW
SHAH ALAM - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyambut baik Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang berlangsung sejak 4 April lalu.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, program seumpama itu merupakan satu strategi yang bagus kerana ia dapat mempromosikan budaya berbuka puasa di Madinah dan Makkah, sekali gus menghidupkan sunnah Rasulullah SAW.
“Saya difahamkan gaya berbuka puasa di sini luar biasa sikit. Kita adakan di tempat yang lebih terbuka untuk berbuka puasa, mendengar tazkirah dan juga ceramah bersama-sama.
“Saya ucapkan tahniah kepada Karangkraf kerana mempromosikan budaya di Madinah dan Makkah.
"Pada masa sama, kita juga dapat menghidupkan sunnah Rasulullah SAW, selain mengimarahkan lagi bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
Sebelum itu, Angkasa menyumbang sebanyak 300 pek makanan berbuka puasa kepada Sinar Harian untuk diagihkan kepada orang ramai yang hadir menyertai Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf sehingga 29 April ini.
Simbolik penyerahan pek makanan berkenaan disampaikan oleh Abdul Fattah kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.
Sementara itu, Abdul Fattah berkata, tidak semua individu mempunyai pengalaman berbuka puasa di Madinah dan Makkah, terutama generasi muda yang belum berkesempatan menjejakkan kaki ke tanah suci tersebut.
“Jadi, dengan adanya program seperti ini, ia sedikit sebanyak dapat memberikan pengalaman lebih bermakna kepada golongan muda,” ujarnya.
Seperti kebiasaan, program berkenaan turut diserikan dengan pengisian tazkirah sementara menunggu waktu berbuka puasa.
Justeru, orang ramai yang berminat untuk turut serta dalam program berbuka puasa ala Madinah ini perlu membuat pengesahan kehadiran jam 10 pagi sehari sebelumnya dengan menghubungi sekretariat di talian 019-213 3315.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!