Gajah miliki gading terbesar di Botswana ditembak mati
GABORONE - Seorang pemburu menembak dan membunuh seekor gajah yang dipercayai memiliki gading paling besar di Botswana, Afrika selepas membayar AS$50,000 (RM214,100) untuk menyertai aktiviti pemburuan haiwan itu.
Pemburu itu, Leon Kachelhoffer mendakwa dia membunuh gajah yang gadingnya seberat 91 kilogram (kg) di sempadan utara negara itu dengan Namibia.
Gajah itu berusia awal 50-an dan dibunuh dengan sekali tembakan, jurucakap industri memburu mengesahkannya.
Kachelhoffer menyiarkan semula ceritanya di akaun Facebook untuk menjelaskan pemburuan itu.
"Ini adalah salah satu (haiwan) yang terbesar jika bukan (memiliki) gading terbesar di negara ini. Gajah yang sentiasa cuba ditunjukkan oleh pengusaha pelancongan kepada pelancong sebagai tarikan ikonik. Sekarang (gajah itu) sudah mati," menurut kenyataannya di Facebook.
Bagaimanapun, pemburuan itu diselar oleh bekas Presiden Botswana, Ian Khama yang melarang amalan pemburuan gajah di negara berkenaan sebelum penggantinya, Mokgweetsi Masisi memperkenalkan semula amalan tersebut pada tahun 2019. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!