Pelita buluh penyeri malam tujuh likur

Ahmad Pirdaus menunjukkan sebahagian pelita buluh yang berjaya disiapkan untuk pelanggan.
Ahmad Pirdaus menunjukkan sebahagian pelita buluh yang berjaya disiapkan untuk pelanggan.
A
A
A

PASIR SALAK - Memasang pelita buluh atau panjut di halaman rumah pada malam tujuh likur atau sepuluh malam terakhir Ramadan menjadi suatu kemestian setiap kali menjelang Aidilfitri.

Meskipun dalam suasana moden dengan wujudnya pelbagai jenis lampu elektronik berwarna-warni, tradisi memasang panjut tidak pernah dilupakan.

Bagi Ahmad Pirdaus Yusop, 41, dia yang bekerja kampung tidak menang tangan untuk menghasilkan panjut yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Bapa kepada tiga anak dari Felcra Changkat Lada itu memberitahu dia mula menghasilkan pelita buluh sejak tiga tahun lalu setelah dilihat tradisi itu kian dilupakan.

Ahmad Pirdaus
Ahmad Pirdaus

"Sukar mendapatkan pelita buluh di kedai menyebabkan saya mula menghasilkannya secara kecil-kecilan mengikut tempahan daripada penduduk setempat.

"Saya belajar dari ayah yang juga pembuat bubu udang dan dari situ saya mengenal buluh yang sesuai dibuat panjut, meriam atau lemang," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Menurut Ahmad Pirdaus, dia mengambil masa antara 10 hingga 15 minit menyiapkan satu unit pelita yang mempunyai enam sumbu untuk dua ruas dan sembilan sumbu bagi tiga ruas buluh.

"Kerja-kerja menyiapkan memang mudah tetapi yang merumitkan adalah mencari buluh di kawasan hutan atau sungai. Seawal jam 8 pagi saya akan keluar untuk mencari buluh betong dan buluh kuning.

"Saya akan menumpang di bengkel milik rakan untuk menyiapkan tempahan ini sehingga petang sebelum dihantar terus kepada pelanggan," katanya.

Ahmad Pirdaus memasukkan sumbu pada ruas buluh untuk dijadikan panjut.
Ahmad Pirdaus memasukkan sumbu pada ruas buluh untuk dijadikan panjut.

Katanya, lebih 200 unit tempahan diterima sejak 15 Ramadan menerusi laman sosial Facebook dan WhatsApp.

"Hanya dua jenis itu saya buat dan kebanyakan pelanggan lebih suka mengekalkan warna asli buluh berbanding mengecat.

"Untuk setiap batang buluh dijual pada harga RM20 hingga RM35 termasuk 'kaki'. Hanya satu liter minyak digunakan untuk mengisi setiap buluh dan ia boleh bertahan sehingga tiga tahun," katanya.

Jelasnya, tempahan panjut kali ini dijangka meningkat untuk meraikan Aidilfitri selepas dua tahun suram akibat pandemik Covid-19.

"Tempahan panjut dihantar terus kepada pelanggan sekitar Pasir Salak, Teluk Intan dan Manjung selain menggunakan perkhidmatan kurier sekiranya jauh seperti Selangor.

"Tradisi memasang panjut perlu dihidupkan kembali sebagai tatapan generasi muda hari ini supaya tidak ditelan zaman," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!