Tak jemu dengar lagu-lagu raya lama

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

PEJAM celik pejam celik, sudah 19 hari kita berpuasa. 10 hari lagi kita akan menyambut Aidilfitri. Rasa cepat benar masa berlalu.

Kehangatan Aidilfitri semakin dirasai apabila lagu raya sudah mula kedengaran di corong-corong radio sejak tiga hari lalu. Ada juga yang sudah mula memainkan lagu raya sejak puasa hari pertama lagi.

Pastinya lagu Balik Kampung dendangan penghibur legenda, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad menjadi pilihan utama tahun ini. Mana tidaknya, masing-masing dah tak sabar pulang beraya di kampung selepas dua tahun ‘terpenjara' di kota.

Ada lagi beberapa lagu raya yang bikin kita tidak keruan nak balik kampung. Antaranya seperti Selamat Hari Raya nyanyian Saloma, Dendang Perantau (Tan Sri P Ramlee), Suasana Hari Raya (Sharifah Aini), Satu Hari Di Hari Raya (Datuk M Nasir) dan Menjelang Hari Raya (Datuk DJ Dave).

Itu antara beberapa lagu raya yang terus menangkap halwa telinga Merak Jalanan. Banyak lagi lagu raya yang masih kekal malar segar dan tidak jemu didengar walaupun dihasilkan berpuluh tahun dahulu.

Walaupun ketika ini banyak juga lagu-lagu raya baharu dihasilkan seperti Pejam Celik Hari Raya (Iman Troye), Raya Raya Raya (Dolla), Syukur Lebaran (Aina Abdul), Baju Raya (Floor 88) dan Jalinan Lebaran (Hael Husaini dan Ernie Zakri), namun sukar untuk menandingi mood lagu raya lama.

Lirik dan melodi setiap lagu itu sudah cukup memberi kesan mendalam kepada kita semua. Ada juga yang seperti menjadi lagu anthem buat seluruh rakyat Malaysia, bukan saja kepada masyarakat Melayu setiap kali tibanya Syawal.

Bagi Merak Jalanan, apa saja lagu raya yang terlintas, tak kira yang sedang trending atau suam-suam kuku, baik di corong-corong radio mahupun di kaca televisyen, semua boleh layan.

Asalkan raya tahun ini kita dapat pulang beraya di kampung halaman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!