Kuih 'tiga beradik' dapat permintaan tinggi
KUANTAN - Kuih 'tiga beradik' antara kuih tradisional popular Pahang yang kebiasaannya dijual di Maran dan Temerloh, namun hidangan itu kini boleh didapati di Kuantan.
Penduduk Kuantan yang ingin menikmati kuih 'tiga beradik' itu boleh membelinya menerusi peniaga kuih tradisional Siti Hasimah Sheikh Nordin, 49, dan suaminya, Amir Yaakob, 59, di Taman Seri Inderapura di sini.
Siti Hasimah berniaga kuih tradisional secara kecil-kecilan di rumahnya.
Menurutnya, kuih tiga beradik terdiri daripada kuih pepena, badak kubang dan dodol kukus sering mendapat permintaan tinggi ketika di bulan Ramadan.
"Pada bulan Ramadan permintaan kuih tiga beradik ini meningkat tiga kali ganda berbanding hari biasa dan keadaan ini menyebabkan kami tidak menang tangan untuk membuatnya.
"Setiap hari kami terpaksa menyiapkan lebih 300 bekas juadah tradisional itu, sekali gus memenuhi tempahan daripada penggemar kuih terbabit di sekitar Kuantan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Inderapura di sini pada Rabu.
Anak jati Telok Melati di Chenor, Maran berkata, proses membuat tiga jenis kuih berkenaan tidak begitu sukar, sebaliknya memerlukan kesabaran untuk menguli adunan terbabit.
Jelasnya, selain itu perlu memastikan santan benar-benar segar supaya kuih berlemak dan menarik.
Katanya, jika tidak dilakukan dengan teliti ia akan menjejaskan rasa kuih itu.
Siti Hasimah menambah, bahan utama yang digunakan dalam pembuatannya iaitu tepung pulut dan santan pekat.
"Sebanyak lapan bungkus tepung pulut dan 10 kilogram santan digunakan bagi menyiapkan tempahan maksimum 300 bungkus.
"Proses membuat kuih akan bermula selepas membeli santan pada jam 8 pagi setiap hari kerana mereka perlu memastikan semua kuih siap dibungkus selewat-lewatnya jam 2 petang bagi urusan penghantaran," ujarnya.
Dalam pada itu, Siti Hasimah mengakui pada awalnya sekadar mencuba untuk mengisi masa lapang selepas berhenti kerja beberapa tahun lalu.
Namun dia tidak menyangka, kuih itu mendapat permintaan daripada pelanggan di sekitar daerah ini.
"Dulu saya selalu buat untuk makan sendiri. Tapi bila hendak mula berniaga, saya belajar semula resipi dari saudara mara terutama mereka yang tua.
“Banyak kali juga hantar kepada jiran dan rakan supaya mereka dapat tegur jika ada kekurangan. Alhamdulillah, reaksinya baik cuma di sini (Kuantan),” katanya yang bangga dapat menjual kuih istimewa itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!