Remaja maut, motosikal hilang kawalan

Penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. - Foto PDRM
Penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. - Foto PDRM
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum dilanggar kenderaan lain di Kilometer 4 Jalan Juasseh Terusan - Bahau pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu membabitkan dua kenderaan iaitu motosikal jenis Honda Dash ditunggang mangsa, Muhammad Haziq Aiman Norazmi dan kereta jenis Perodua Axia dipandu lelaki berusia 35 tahun.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari Juasseh menghala ke Bahau.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, dipercayai motosikal yang ditunggangnya telah hilang kawalan dan terjatuh di lorong bertentangan.

"Pada masa yang sama datang sebuah kereta jenis Perodua Axia dari arah Bahau menghala ke Juasseh terus melanggar motosikal berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Amran berkata, akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah bagi tujuan bedah siasat," katanya.

Jelas Amran, lokasi kemalangan berbentuk jalan lurus, mempunyai dua lorong berlawanan arah dan terdapat garisan putih putus-putus di tengah pembahagi lorong, keadaan cuaca baik, gelap dan berlampu.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!