Setiausaha politik diperdaya 'kawan baik'

Superintendan Aibee Abd Ghani
Superintendan Aibee Abd Ghani
A
A
A

SEREMBAN - Seorang setiausaha politik mengalami kerugian RM3,000 selepas diperdaya individu menyamar sebagai kawan baik yang memerlukan bantuan kewangan dalam kejadian pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang wanita tidak dikenali kira-kira jam 10.35 pagi semasa berada di tempat kerja di sebuah Pusat Khidmat Rakyat.

"Wanita berkenaan mendakwa keretanya telah dipecah dan menyebabkan telefon bimbit dan dompetnya hilang, justeru meminta bantuan mangsa untuk memindahkan wang tunai sebanyak RM3,000 dalam akaun bank atas nama William Wong Wee Lian.

"Mangsa kemudiannya bertanya kepada wanita berkenaan dengan siapa dia sedang bercakap, namun wanita tersebut meminta mangsa meneka suaranya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, mangsa menyebut nama rakannya dan wanita berkenaan mengiyakan tekaan mangsa sebelum memindahkan wang RM3,000 ke dalam akaun yang dinyatakan kerana percaya wanita tersebut adalah kawan baiknya.

"Bagaimanapun, wanita tersebut membuat panggilan kedua dengan meminta mangsa membuat transaksi ke akaun yang sama sebanyak RM6,000 dan mangsa mula rasa curiga.

"Mangsa bertindak menghubungi nombor telefon sebenar rakannya itu dan bertanyakan mengapa dia memerlukan wang tunai yang banyak sebaliknya rakannya itu menjelaskan tidak menghubungi mangsa untuk meminjam wang.

"Berasa dirinya telah ditipu, mangsa membuat laporan polis pada Rabu," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!