'Menteri Dalam Negeri perlu beri penjelasan isu dasar pelarian'
SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kebebasan Asas dan Hak Perlembagaan digesa memanggil Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk memberi keterangan dan menjawab beberapa isu dasar pelarian.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, ini kerana sejak Ogos 2019 kerajaan telah menghalang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) daripada mendapat akses penuh kepada pelarian yang mencari suaka di Malaysia.
Menurutnya, Menteri Dalam Negeri perlu mendedahkan kepada Parlimen jumlah yang dibelanjakan untuk menguruskan pelarian dan perlu bertanggungjawab secara fiskal ke atas semua perbelanjaan yang berkaitan.
“Menteri juga perlu merombak, membangun dan kemudian melaksanakan dasar dan peruntukan pentadbiran yang lebih baik untuk memproses permohonan suaka.
“Saya ingin mengingatkan menteri untuk melihat gambaran yang lebih besar dan memahami bahawa pada zaman ini di mana kriteria ESG (persekitaran, sosial dan tadbir urus) adalah penting, bahawa langkah dan tindakan beliau seterusnya akan memberi kesan kepada ekonomi dan antarabangsa kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai kira-kira 528 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Depot Sementara Imigresen Relau dilaporkan melarikan diri dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi Rabu.
Bagaimanapun, enam dilaporkan maut dalam kemalangan ketika melintas Lebuhraya Utara Selatan manakala seramai 362 lagi berjaya diberkas semula di Kilometer 168 lebuh raya sama.
Dalam pada itu, Chen berkata, kerajaan juga perlu tulus dan melaksanakan polisi serta peruntukan pelarian yang lebih baik sebelum imej negara semakin rosak.
“Jadi insiden pelarian terbaru ini, berkemungkinan akan menambah imej negatif bahawa negara berpendapatan sederhana berbilang kaum kita semakin menjadi semakin xenofobia dan tidak mengambil berat.“Kita perlu membaiki keadaan ini dengan cepat dan tegas sebelum imej ini menjadi sebati dan merosakkan ekonomi dan kedudukan antarabangsa kita secara kekal,” katanya.
Mengulas lanjut, Chen berkata, pelarian tersebut bukan insiden yang dirancang kerana mereka dilihat melarikan diri tanpa sebarang bantuan luar dan destinasi akhir yang jelas.
"Kerajaan juga perlu memastikan pelarian yang ditahan semula tidak dianiaya dan dikenakan hukuman balasan."Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) dan UNHCR harus diberikan akses segera kepada pelarian yang ditangkap semula dan hak penuh untuk memeriksa depoh tahanan Sungai Bakap," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!