Kurang 30 pusat tahfiz tidak berdaftar

AMIRUDIN
AMIRUDIN
A
A
A

SHAH ALAM - Kurang daripada 30 pusat tahfiz di negeri ini yang dikenal pasti tidak berdaftar serta tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Jumlah tersebut diperoleh melalui pemantauan yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak dua tahun yang lalu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri melaksanakan pemutihan terhadap pusat tahfiz yang tidak berdaftar sejak dua tahun lalu.

"Pemantauan sudah dijalankan namun akan tetap diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan pelajar tahfiz sentiasa terbela.

"Sepanjang pelaksanaan pemutihan tahfiz itu memang wujudnya beberapa isu berkenaan keutuhan bangunan, keselamatan dan sebagainya malahan mesyuarat pelarasan sudah dilakukan bersama Jabatan Agama Islam Selangor dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor bagi menyelesaikan masalah itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persoalan ADUN Ayer Tawar, Rizam Ismail yang meminta kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti pusat tahfiz tidak berdaftar yang beroperasi secara tidak sah di Selangor di sidang DUN baru-baru ini.

Terdahulu, Amirudin hadir merasmikan Majlis Perasmian Penangguhan Konvensyen Falak Selangor 2019 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kurang dari 30 sahaja yang berdepan risiko kerana tidak berdaftar dan tidak memenuhi kriteria ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini kita belum mengambil tindakan menutup sebab memberi peluang dulu dalam sebulan dua kepada semua pusat tahfiz ini untuk mendaftarkan institusi mereka sekali gus melengkapkan kriteria sebelum mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

"Saya boleh katakan bahawa mekanisme pemutihan tahfiz itu sudah dilaksanakan awal lagi sebelum sebarang isu timbul,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!