KPDNHEP patahkan kegiatan seleweng diesel bersubsidi
SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya mematahkan kegiatan menyeleweng minyak diesel bersubsidi dalam serbuan ke atas sebuah stesen minyak di Lukut, Port Dickson di Negeri Sembilan pada Ahad.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya menemui sebanyak 3,232 liter minyak diesel bersubsidi di dalam sebuah lori tangki yang diubah suai kepada tiga bahagian khas untuk mengaburi pihak berkuasa.
"Ketika serbuan dilakukan ke atas stesen minyak tersebut, terdapat sebuah lori tangki sedang mengisi minyak dan telah membuat pengisian minyak diesel dianggarkan berjumlah RM 500
"Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat sebuah pam yang menghubungkan tangki asal kenderaan itu terus ke dalam tiga buah 'compartment' di dalam lori tangki tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pemandu lori berusia 24 tahun yang merupakan seorang lelaki tempatan turut ditahan dalam serbuan tersebut.
'Minyak diesel, lori tangki, satu set dekoder dan invois jualan serta belian berserta dokumen-dokumen perniagaan yang lain daripada stesen minyak berkenaan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 32,450," katanya.
Azman Adam memberitahu, siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 untuk mengenalpasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut.
Tambahnya, syarikat terbabit juga disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).
"Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi,"ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!