PRU15: ADUN Sindumin sedia tanding semula kerusi Parlimen
SIPITANG - Bekas Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Dr Yusof Yacob tidak menolak untuk bertanding kerusi Parlimen jika dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berkata, bagaimanapun beliau menyerahkannya kepada rakyat dan pucuk pimpinan parti sama ada mahu mencalonkan beliau atau sebaliknya.
"Sejak dulu saya tidak pernah melobi jadi calon. Semasa saya jadi ADUN, ahli Parlimen, saya masih berpegang bahawa kalau kita terhegeh-hegeh menjadi calon tetapi petunjuk prestasi utama (KPI) kita tidak sampai untuk layak jadi calon, tidak ada gunanya.
"Saya bukan kata terhegeh-hegeh mahu jadi calon atau minta jadi calon tetapi terpulang kepada pemimpin. Kalau pucuk pimpinan mengatakan saya calon, kita teruskan, saya bersedialah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada orang kurang upaya (OKU) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Daerah Sipitang di sini pada Rabu.
Yusof menegaskan, calon perlu mempunyai prestasi yang baik di kawasan dan bukan bergantung kepada kekuatan parti semata-mata bagi memenangi pilihan raya.
"Saya selalu mengatakan bahawa kekuatan parti itu memang ada, tetapi parti yang kuat saja tidak menjamin kemenangan kalau calon itu tidak disukai rakyat.
"Kalau mengikut penilaian saya, kekuatan parti 40 peratus dan kekuatan diri 60 peratus.
"Kalau pun diangkat oleh parti tetapi kita tidak ada kekuatan peribadi, tiada KPI, tidak buat kerja, rakyat benci kita, bagaimana kita mahu menang," katanya Mengulas lanjut,
Sementara itu, ditanya hala tuju beliau selepas keluar daripada Warisan pada Oktober tahun lalu, Yusof menegaskan ketika ini masih sebagai ADUN Bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun dalam masa sama memberi bayangan akan menyertai sebuah parti lain.
"Saya masih bebas dan menyokong kerajaan GRS yang ada sekarang dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri di peringkat Persekutuan.
"Sekarang belum lagi (sertai mana-mana parti), saya akan umumkan kemudian.
"Saya katakan politik ini dinamik di mana masa yang betul, orang yang betul dan tempat yang betul untuk kita sesuaikan. Jika tiga ini ada, ia akan berlaku," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!