12 beradik tekad buka Rumah Ngaji
ALOR GAJAH - Dua belas beradik di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina di sini, bersepakat untuk mewakafkan rumah pusaka peninggalan kedua ibu bapa mereka untuk dijadikan pusat pengajian al-Quran bagi dimanfaatkan masyarakat setempat.
Menurut anak sulung dari kalangan adik-beradik itu, Zainon Jaafar, 72, pusat berkenaan yang diberi nama 'Rumah Ngaji Ibnu Jaafar' diambil sempena nama arwah ayah mereka, Jaafar Koter yang meninggal dunia 28 tahun lalu.
Menurutnya, yang berperanan sebagai tenaga pengajar di situ, sejak memulakan kelas mengaji al-Quran lima bulan lalu, ia telah berjaya menarik penyertaan seramai 12 orang murid.
"Antara yang belajar ngaji termasuklah mereka dah lewat usia, juga lelaki lembam berumur 30 tahun.
"Mereka semua betul-betul nak belajar ilmu tajwid dan elokkan bacaan. Kelas diadakan setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 3 sampai 5 petang," katanya.
Zainon ditemui dalam majlis pelancaran Rumah Ngaji Ibu Jaafar yang disempurnakan oleh Speaker DUN Melaka, Datuk Omar Jaafar, di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina, di sini, hari ini.
Zainon berkata, pada asalnya rumah berkenaan dicadangkan untuk dijadikan sebuah inap desa setelah beliau bersama 11 beradik lain sudah sedia memiliki rumah masing-masing di kampung berkenaan manakala sebahagiannya menetap di Kuala Lumpur.
"Pada mulanya kami bincang nak buat apa dengan rumah ni. Ada juga cadangan nak buat inap desa, tapi lepas tu kami sebulat suara jadikannya pusat mengaji al-Quran yang dinamakan Rumah Ngaji Ibnu Jaafar.
"Inap desa hanyalah bersifat dunia, sedangkan ganjaran yang kekal abadi adalah di akhirat kelak,” katanya.
Tambah Zainon, arwah datuknya iaitu Sidang Etot adalah orang yang bertanggungjawab membuka Kampung Paya Lebar dan menjadi sidang atau ketua kampung, di situ.
Sementara itu, berucap pada majlis itu, Omar berkata, ilmu yang diajarkan oleh Zainon adalah sebahagian daripada amal jariahnya.
Sehubungan itu beliau meminta anak kariah kampung berkenaan supaya bersikap positif untuk menimba ilmu tajwid walaupun sudah lanjut usia kerana menuntut ilmu adalah kewajipan setiap umat Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!