Zainur Irsyadi layak ke peringkat akhir pertandingan ‘Ithrul Kalam’

Zainur Irsyadi satu-satunya peserta Malaysia layak ke peringkat akhir dalam pertandingan ‘Ithrul Kalam’
Zainur Irsyadi satu-satunya peserta Malaysia layak ke peringkat akhir dalam pertandingan ‘Ithrul Kalam’
A
A
A

SHAH ALAM - Zainur Irsyadi, 27, satu-satunya peserta Malaysia yang berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan ‘Ithrul Kalam’ dalam anugerah muadzin terbaik.

Zainur merupakan antara 18 peserta dalam acara azan yang berjaya mengatasi semua peringkat pertandingan dan mara ke peringkat akhir kelayakan.

Pertandingan al-Quran dan Azan Global itu merupakan pertandingan terbesar di peringkat global dengan lebih 40,000 peserta dari 80 negara seluruh dunia.

Zainur yang bekerja sebagai guru al-Quran dan Fardhu Ain itu berkata, beliau mula menyertai pertandingan itu khusus untuk membanggakan bapanya.

Beliau mempunyai bakat tersebut selepas melaungkan azan untuk solat ketika baru berumur enam tahun.

Zainur meluahkan perasaan gembira apabila beliau dapat mempraktikkan kerjanya mengajar kanak-kanak dan orang muda perkara baharu tentang agama Islam di Malaysia, sambil berusaha untuk membina sekolah bagi mengajar agama Islam di tempatnya.

Dalam pada itu, Malaysia menyertai peringkat pertama pertandingan ‘Ithrul kalam’ dengan 68 peserta, yang diagihkan kepada 35 peserta dalam bidang tilawah al-Quran, dan 33 peserta dalam melaungkan azan.

Selain itu, bercakap mengenai penyertaan dari negara Asia Timur, jumlah peserta keseluruhannya mencecah 1,738, di mana Pakistan mempunyai jumlah peserta terbesar dengan jumlah 825 peserta, manakala India mengambil bahagian dengan 396 peserta.

Pertandingan itu akan disiarkan dalam program ‘Ithrul kalam’ menerusi di saluran Saudi pada bulan Ramadan 1443 Hijrah, dengan 19 episod selama 19 hari.

Pada masa sama, nilai keseluruhan hadiah pertandingan adalah 12 juta riyal Saudi, yang merupakan hadiah terbesar di dunia bagi acara melaungkan azan dan membaca al-Quran.

Hadiah bagi pertandingan Tilawah al-Quran terbaik itu dianggarkan 5 juta riyal bagi tempat pertama, 2 juta riyal bagi tempat kedua, 1 juta riyal bagi tempat ketiga, dan 500,000 riyal bagi tempat keempat.

Bagi pertandingan melaungkan azan yang terbaik, tempat pertama 2 juta riyal, tempat kedua 1 juta riyal, tempat ketiga 500,000 riyal dan tempat keempat 250,000 riyal.

Ketua Bahagian Hiburan Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Turki Al-Sheikh dalam ciapan Twitternya turut memuji suara-suara peserta yang menyertai pertandingan itu dan dan menyifatkan ia sebagai indah.

“Suara-suara yang indah dalam membaca al-Quran dan azan dari pelbagai negara di dunia bersaing bagi Program ‘Ithrul Kalam’.

“Ia merupakan salah satu Inisiatif Program Hiburan, disiarkan setiap hari di saluran Saudi pada pukul 5 petang dan di platform tontonan secara dalam talian pada pukul 6 petang,” katanya dalam satu ciapan di Twitter pada enam April yang lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!