PMD sasar lahirkan 3,000 mutawif
PUTRAJAYA - Professional Mutawwif Development Sdn Bhd (PMD) menyasarkan untuk melahirkan seramai 3,000 mutawif profesional tahun tahun ini.
Pengarah Urusannya, Abd Halim Ikhsan berkata, jumlah tersebut adalah relevan berdasarkan penubuhannya sebagai pusat pengajian baharu dan pertama di Malaysia yang menawarkan program pengajian Diploma Kemahiran Malaysia Pengurusan Mutawif Umrah dan Ziarah.
"Pelajar program ini bukan sahaja diajar secara teori bahkan juga diwajibkan mengikuti pembelajaran bagi projek akhir ke Mekah dan Madinah di Arab Saudi untuk menjalani praktikal umrah secara realiti," katanya.
Menurutnya, tenaga pengajar di PMD adalah mereka yang berpengalaman luas dan dilesenkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
"PMD kini bertindak sebagai pusat bertauliah yang memfokuskan pentauliahan bakal mutawif bagi mengikut garis panduan pembelajaran yang standard untuk membawa jemaah pada masa akan datang," katanya.
Abd Halim berkata, PMD telah menjalinkan usahasama dan membuka cawangan pusat bertauliah di beberapa universiti awam dan swasta di Malaysia seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, UiTM Mukah, UiTM Samarahan, Kolej Sidma Sarawak dan Kolej Sidma Sabah.
"Kerjasama tersebut adalah bagi menempatkan pelajar di bawah institusi ini," katanya dalam ucapan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara PMDSB Dengan Bumitra Malaysia dan Sesi Penyerahan Plak Kerjasama Rakan Industri, dekat sini pada Rabu.
Turut hadir Presiden Bumitra Malaysia, Harun Ahmmu.
Menurutnya, usaha memperkenalkan program pengajian diploma itu disokong penuh oleh Bumitra Malaysia seiring dengan kebolehpasaran graduan bagi kerjaya mutawif untuk berdaftar terus di bawah Agensi Pelancongan Malaysia.
"Program pengajian yang diiktiraf itu sekaligus akan memberikan satu aspirasi baharu apabila bakal memberikan suatu impak yang cukup besar bukan sahaja di dalam dunia pendidikan," katanya.
Malah ujarnya, ia mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang mutawif khususnya serta pelancongan Muslim yang berilmu bagi menerajui industri pelancongan di masa akan datang.
"Pada masa sama, program diploma itu turut menawarkan kursus pengajian pelancongan di dalam dan luar negara bagi melahirkan graduan yang kerjaya mutawif itu sendiri.
Namun skop kerjaya mereka juga diperluas sebagai Ketua Pelancong Muslim yang akan membawa pelancong ke serata dunia bersama agensi pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)," katanya.
PMD kini memiliki sembilan pusat bertauliah iaitu Professional Mutawwif Development International College (PMDIC) yang telah berdaftar di bawah pentauliahan JPK yang menawarkan program Diploma Kemahiran Malaysia Pengurusan Mutawwif Umrah dan Ziarah sejak 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!