Jakarta lancar MRT pertama

Jokowi (tengah) bersama beberapa pegawai kerajaan menyertai upacara perasmian MRT.
Jokowi (tengah) bersama beberapa pegawai kerajaan menyertai upacara perasmian MRT.
A
A
A

JAKARTA - INDONESIA. Jakarta, hari ini melancarkan sistem Transit Aliran Massa (MRT) pertama di bawah projek menelan kos AS$1.1 bilion (RM4.4 bilion) bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas terburuk di negara itu.

Presiden Joko Widodo atau Jokowi dan beberapa pegawai kerajaan lain turut menyertai upacara perasmian melibatkan laluan sepanjang 16 kilometer.

"Jika kita mempunyai sistem pengangkutan bersepadu, orang ramai lebih mudah untuk ke mana-mana dan hanya perlu tinggalkan motosikal dan kereta mereka di rumah," kata Jokowi.

Puluhan ribu penduduk di ibu negara yang teruja turut tidak melepaskan peluang untuk menggunakan pengangkutan itu buat pertama kali.

"Sejujurnya, saya sangat gembira. Kini, kami tidak lagi perlu ke luar negara untuk menaiki MRT," kata Mutia Fitrianti.

Sistem kereta api termasuk laluan bawah tanah dari pusat Hotel Indonesia ke kawasan selatan itu bertujuan untuk mengurangkan masa perjalanan antara dua stesen daripada dua jam kepada 30 minit.

Difahamkan, laluan baharu itu akan dibuka kepada umum pada esok dan penumpang juga diberikan tiket percuma sepanjang minggu depan.

Projek pembinaan laluan kedua menghubungkan pusat bandar ke pelabuhan di utara Jakarta turut dilancarkan dan dijangka siap pada 2024. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!