Bestari, Hwa Thai sedia 300 pek juadah berbuka puasa
SHAH ALAM - Syarikat pengeluar rangkaian jenama terkenal Tepung Goreng Ayam Bestari (Bestari) telah bekerjasama dengan pasar raya Hwa Thai menerusi Infaq Iftar Ramadan 2022 menyediakan sebanyak 300 pek juadah berbuka puasa untuk diagihkan kepada pengunjung pasar raya itu di seluruh negeri Johor.
Bestari dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, kedua-dua syarikat itu telah bekerjasama untuk tahun ketiga pada tahun ini dan menjangkakan akan meneruskannya pada masa akan datang.
“Kami juga mahu berkongsi rezeki dengan menyumbangkan produk dalam penyediaan masakan. Pek juadah adalah daripada jenama rakan industri seperti snek kacang Kow Kow, Rasaku, Planta, MyBizcuit, Aik Cheong dan CED.
“Chef Bestari telah menyediakan menu istimewa seperti ketupat, rendang ayam, sambal goreng, fuseli spagheti aglio olio dan ayam telur masin di setiap lokasi pasar raya Hwa Thai bermula 8 April hingga 29 April 2022,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, program Infaq Iftar Ramadan 2022 mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung pasar raya itu.
“Mereka sanggup menunggu pek juadah yang akan diagihkan pada jam 4 petang kerana mahu menikmati sendiri keenakan menu yang disediakan. Program ini bukan sahaja menggembirakan pelanggan tetapi kami juga dapat mengeratkan ukhuwah dan berkongsi rezeki bersama orang ramai,” kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!