Agong, Raja Permaisuri berangkat tiba di Sarawak
KUCHING - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini bagi memulakan lawatan dua hari ke Sarawak.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua menggunakan pesawat khas kira-kira pukul 12.20 tengah hari tadi disambut kenamaan utama negeri diketuai Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, ketiga-tiga Timbalan Premier - Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian - serta barisan Kabinet negeri turut hadir bagi upacara sambutan ketibaan itu.
Pada sebelah petang ini, Seri Paduka berdua dijangka berkenan berangkat mengunjungi Bazar Ramadan Satok sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Santapan Malam di Masjid Jamek Negeri di sini.
Pada majlis itu nanti, Seri Paduka berdua akan berkenan menyampaikan kurniaan sumbangan kepada 30 penerima. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!