Negeri Sembilan kenal pasti beberapa tumpuan pembangunan
SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Beberapa bidang tumpuan telah dikenalpasti dalam Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (2021-2025) yang akan menjadi new game changers kepada pembangunan ekonomi Negeri Sembilan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (Sikamat-PKR) berkata, antaranya, pertama, memperkukuh pertumbuhan ekonomi melalui pengenalpastian sektor bernilai tinggi dan strategik, hubungkait sektor ekonomi yang lebih kuat dan galakan diversiti sektor ekonomi akan memberi kesan limpahan yang tinggi dan inklusif.
"Kedua, meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai peneraju pertumbuhan. Ketiga, menjana sumber ekonomi baharu berasaskan kelestarian alam sekitar.
"Keempat, memperbaiki pengagihan pendapatan luar bandar melalui pemerkasaan sektor pertanian yang lebih produktif dan berintensifkan teknologi dan kelima, mendaya upaya modal insan dan bakat bagi menyokong pertumbuhan ekonomi," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Mary Josephine Prittam Singh (Rahang-DAP) pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 pada Khamis.
Menurutnya, bidang-bidang tumpuan tersebut dijangka dapat melonjakkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka bertumbuh antara 4.6 peratus sehingga 5.5 peratus bagi tempoh 2021 sehingga 2025, pertumbuhan yang lebih baik berbanding 2.1peratus berbanding tempoh 2016 sehingga 2020.
"Pendapatan per kapita diunjur meningkat sebanyak 3.36 peratus setahun berbanding hanya 1.23 peratus setahun dalam tempoh 2016 sehingga 2020," katanya.
Jelasnya, seiring dengan peningkatan KDNK dan pendapatan per kapita, jumlah kutipan hasil negeri dijangka meningkat sebanyak 3.4 peratus setahun.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri sudah menetapkan sasaran untuk mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi.
"Justeru, Negeri Sembilan memerlukan KDNK berkembang pada kadar minimum 5.5 peratus setahun untuk tempoh 10 tahun.
"Ini dapat dilakukan melalui penglibatan aktif sektor perkhidmatan bernilai tinggi, sektor pembuatan berteknologi tinggi di samping menggiatkan sektor pertanian menerusi kaedah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta bioteknologi agar permintaan buruh mahir dapat dipertingkatkan," katanya.
Katanya, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bersama Jabatan Perangkaan Malaysia sedang membangunkan Jadual Input Output Negeri Sembilan sebagai asas rujukan utama dalam Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021–2025.
Menurutnya, ia penting bagi kerajaan negeri menyusun hala tuju strategik berdasarkan kekuatan sektor ekonomi di peringkat negeri dan daerah supaya kesan limpahan ekonomi dapat dirasai seluruh negeri.
"Malah, ianya juga untuk memastikan keterangkuman pembangunan dan pertumbuhan dapat dimanfaat dan diagihkan secara adil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!