DUN Johor perhalusi Enakmen Anti Lompat Parti

Onn Hafiz ketika berucap pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Johor yang ke-15 di Kota Iskandar di sini pada Khamis.
Onn Hafiz ketika berucap pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Johor yang ke-15 di Kota Iskandar di sini pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan memberi perhatian dan memperhalusi Enakmen Anti Lompat Parti.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, enakmen ini akan memastikan tidak ada lagi ahli politik yang tidak berprinsip yang mengkhianati mandat rakyat.

"Perkara perlu kita utamakan adalah anti lompat parti, saya juga baru-baru ini berjumpa dengan (Ahli Parlimen Pengerang) Datuk Seri Azalina (Othman Said), yang mana saya difahamkan baru-baru ini isu itu mempunyai teknikal yang perlu diperhalusi kerajaan di peringkat Parlimen.

"Jadi kami di Johor pun akan mengorak langkah yang sama untuk memastikan perkara ini diteliti," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Khamis.

Onn Hafiz bagaimanapun berkata, pelaksanaan Enakmen Anti Lompat Parti akan berlandaskan keselarian dengan fahaman di peringkat Persekutuan.

"Buat masa ini perkara utama bagi merealisasikan usaha berkenaan adalah dengan melihat dahulu perkembangan semasa Akta Anti Lompat Parti di peringkat persekutuan.

"Saya lihat apa pun yang berlaku di peringkat Parlimen, mesti juga akan ada kesannya di peringkat kerajaan negeri,.

"Kita kena lihat adakah perkara itu akan ada kesan kepada kita. Paling utama hubungan Putrajaya dan Johor mesti ada keselarian," katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Barisan Nasional (BN) menyatakan bahawa pihak mereka akan memperkenalkan Enakmen Anti Lompat Parti sebagai salah satu tawaran utama sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad memaklumkan perkara itu merupakan salah satu inisiatif yang mahu ditawarkan dalam teras Reformasi Politik bagi memastikan kerajaan negeri selepas ini kekal stabil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!