Polis Perak guna TikTok kempen kesedaran penipuan 'scammer'

Mior Faridalathrash (empat dari kiri) bersama wakil institusi kewangan di Perak yang hadir pada Majlis Perjumpaan Ketua Polis Perak Bersama Institusi Kewangan negeri Perak di Auditorium PLGPU pada Khamis.
Mior Faridalathrash (empat dari kiri) bersama wakil institusi kewangan di Perak yang hadir pada Majlis Perjumpaan Ketua Polis Perak Bersama Institusi Kewangan negeri Perak di Auditorium PLGPU pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Polis Perak akan menggunakan aplikasi TikTok sebagai medium menyampaikan mesej kesedaran kepada orang ramai bagi mengelak terpedaya sindiket penipuan dalam talian.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, inisiatif itu akan digerakkan bersama institusi perbankan yang berada di Perak bagi meningkatkan kesedaran terhadap kegiatan penipuan yang sedang berleluasa ketika ini.

Menurutnya, pihak polis menggunakan pelbagai platform bagi menjalankan kempen kesedaran kepada orang ramai.

"Kita dapati sekarang ini platform terbaik adalah penggunaan TikTok. TikTok bukan sahaja selalu diguna orang muda, malah orang tua pun sama. TikTok ini dalam satu keadaan menyampaikan mesej dalam masa yang singkat tapi berkesan.

"Mungkin kita akan berkolaboratif dengan bank-bank tempatan untuk wujudkan satu peraduan. Kita jemput orang ramai beri idea bernas untuk kita mendidik masyarakat supaya tidak lagi menjadi mangsa penipuan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Ketua Polis Perak Bersama Institusi Kewangan negeri Perak di Auditorium Pengkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLGPU) di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis tersebut, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris.

Mior Faridalathrash berkata, sejak awal tahun lalu, polis Perak mempergiatkan usaha memberi kesedaran kepada masyarakat tentang sindiket penipuan dalam talian itu melalui ceramah di masjid pada setiap Jumaat.

Menurutnya, ketua polis daerah dan ketua polis balai akan ke masjid pada hari Jumaat dengan kebenaran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk menyampaikan maklumat berkaitan kes-kes penipuan dalam talian.

Tambahnya, selain itu kempen turut dijalankan menerusi khutbah Jumaat dengan kerjasama JAIPk.

Beliau berkata, pada tahun lalu sahaja sebanyak RM33 juta kerugian dicatatkan di Perak membabitkan sindiket penipuan dalam talian tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!