Semangat berpasukan pacu Juventus

Bernardeschi meraikan jaringan bersama pemain pertahanan Leonardo Bonucci (kiri) ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala Itali antara Juventus menentang Fiorentina di Stadium Juventus. - Foto AFP
Bernardeschi meraikan jaringan bersama pemain pertahanan Leonardo Bonucci (kiri) ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala Itali antara Juventus menentang Fiorentina di Stadium Juventus. - Foto AFP
A
A
A

SEMANGAT berpasukan dalam kalangan pemain Juventus merupakan elemen penting dalam memacu penyandang juara Piala Itali itu ke perlawanan akhir selepas menjinakkan Fiorentina 2-0 di Stadium Juventus.

Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri berkata, kemenangan itu lebih bermakna selepas gergasi Serie A itu dikritik kerana melakar keputusan seri ketika berdepan Bologna.

“Saya harus ucapkan tahniah kepada para pemain Juventus kerana mara ke final menentang Inter yang merupakan objektif untuk musim ini. Apatah lagi selepas pasukan melalui fasa sukar selepas seri dengan Bologna, apabila kami gagal memanfaatkan banyak peluang.

“Fiorentina berbahaya dengan hantaran dan rentak pantas jika anda memberi mereka peluang memainkan bola, namun kami berjaya mencipta ruang dalam serangan serta bertahan dengan baik.

“Ini bola sepak, kami menderita dan menang. Mereka yang turun dari bangku simpanan semuanya melakukan tugas dengan sangat baik, kami mempunyai semangat berpasukan untuk ke perlawanan akhir," katanya.

Dalam perlawanan separuh akhir kedua itu, jaringan setiap babak Federico Bernardeschi (32') dan Danilo (94') membolehkan The Old Lady menang 3-0 secara agregat sekali gus mengesahkan slot perlawanan akhir berdepan Inter Milan di Stadium Olimpico pada 11 Mei depan.

Untuk rekod, Juventus yang berkedudukan tangga keempat Serie A kehilangan kejuaraan Serie A musim lalu kepada Inter Milan selain turut tewas kepada lawan sama dalam saingan Piala Super Itali pada Januari.

Pada masa sama, Allegri berkata, Bianconeri kini perlu mengalih semula tumpuan ke saingan Serie A dalam memperbaiki kedudukan liga kelab Turin tersebut.

“Kini kami mesti bersedia untuk perlawanan seterusnya dalam Serie A dan cuba memulihkan prestasi beberapa pemain.

“Saya tidak boleh meminta lebih daripada para pemain ini kerana sejak empat bulan lalu, mereka inilah pemain yang hampir sama menyarung jersi sepanjang masa dengan memberi sepenuh jiwa kepada pasukan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!