Budaya membaca rakyat Malaysia rendah

Hanif (tiga dari kiri) ketika merasmikan sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia di Perpustakaan Awam Kedah di Alor Setar pada Khamis.
Hanif (tiga dari kiri) ketika merasmikan sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia di Perpustakaan Awam Kedah di Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Budaya membaca kalangan rakyat Malaysia masih rendah dengan hanya memperuntukkan kurang tiga jam seminggu untuk aktiviti membaca.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Hanif Ghazali berkata, jumlah itu amat menyedihkan jika dibandingkan dengan kecenderungan rakyat India yang memperuntukkan lebih 10 jam seminggu.

Menurutnya, malah Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding rakyat Thailand dan China yang membaca antara lapan hingga sembilan jam seminggu.

“Ini menunjukkan perlunya usaha yang lebih konstruktif daripada semua pihak khususnya ibu bapa untuk memupuk minat dan amalan membaca bahan-bahan bacaan berfaedah kepada anak-anak dan pelajar sekolah.

“Sebagai ibu bapa, kita perlu tunjukkan contoh yang baik terhadap anak-anak termasuk memilih bahan bacaan bermanfaat bagi pembentukan minda yang baik untuk dibawa balik ke rumah. Wujudkan mini perpustakaan di rumah untuk menyemai budaya membaca,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia di Perpustakaan Awam Kedah di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Shahizan Affandi Zakaria.

Hanif memaklumkan, pada tahun 2014, purata rakyat Malaysia membaca meningkat kepada 15 naskhah setahun berbanding tahun 2005 dengan hanya dua naskhah buku setahun.

“Biarpun ada peningkatan, namun jumlah ini masih jauh rendah berbanding negara maju yang mana rakyatnya membaca hampir 40 buah buku dalam setahun,” katanya.

Menurutnya lagi, cabaran ibu bapa masa kini yang sibuk dengan kerjaya turut menyumbang kepada menurunnya budaya membaca kalangan anak-anak apabila mereka disajikan dengan gajet berbanding buku.

“Anak-anak diberikan gajet supaya tidak ganggu ibu bapa, apa salahnya berikan buku sebagai ganti dalam usaha kita mengawal penggunaan gajet. Umum tahu kesan gajet lebih mudarat seperti gangguan emosi dan percakapan,” katanya.

Hanif berharap budaya membaca kembali disuburkan dalam ledakan teknologi kerana individu yang banyak membaca mempunyai idea lebih bernas dan dapat membangunkan sesebuah negara selain menjadi pemimpin berkaliber.

“Dengan menghayati ilmu akan mengupayakan diri kita untuk melahirkan idea-idea bernas untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat, negeri dan negara.

“Dunia kini tanpa sempadan, ilmu yang ada mampu menyusuri pelosok dunia dan menjadi penghubung ke arah kelangsungan budaya ilmu dan peradaban bangsa,” ujarnya lagi.

Menurutnya, membaca juga dapat meningkatkan kualiti pendidikan, menyediakan pelajar untuk berdepan zaman maklumat, membina budaya ilmu, menanam asas pendidikan sepanjang hayat serta mengembangkan potensi pelajar.

“Kegemilangan umat Islam contohnya, dimanifestasikan menerusi ramainya ilmuan yang menulis ratusan ribu mungkin jutaan kitab dalam pelbagai bidang seperti matematik, fizik,biologi, kimia, kaji bintang, perubatan dan pelbagai cabang ilmu duniawi mahupun ukhrawi.

“Dalam pergaulan seharian pula, kita dapat lihat perbezaan antara orang yang gemar membaca dan sebaliknya, dari segi pengetahuan dan kecerdasan berfikir, tahap keupayaan berkomunikasi serta taraf hidup mereka,” katanya.

Hanif percaya biarpun ketika era komputer dan internet merevolusi kaedah pencarian maklumat dan ilmu, buku masih kekal dalam sanubari masyarakat.

“Buku ibarat penyampai khazanah ilmu dan penghibur. Diharap usaha penerbitan buku diperbanyakkan agar perpustakaan di seluruh negara dapat memenuhi rak-rak dengan buku yang memberi ilmu kepada pembaca,” katanya.

Sambutan turut dimeriahkan dengan program Jom Baca Bersama 10 minit secara serentak di seluruh negara yang dilakukan di premis masing-masing termasuk di sekolah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!