Polis lulus permohonan enam syarikat jual bunga api di Kelantan
KOTA BHARU - Polis Kelantan meluluskan enam syarikat yang memohon bagi penjualan bunga api pada musim perayaan Aidilfitri kali ini, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.
Beliau berkata, daripada 13 permohonan yang diterima, hanya enam sahaja diberikan kelulusan untuk menjual bunga api iaitu jenis 'pop-pop' dan 'happy boom' kerana ia tidak membahayakan keselamatan pengguna.
"Antara syarat utama bagi penjualan bunga api yang dikenakan kepada syarikat yang memohon adalah perlu mempunyai stor simpanan yang selamat dan bersesuaian untuk bahan tersebut," katanya kepada pemberita pada majlis sumbangan kuih raya kepada Pasukan Keselamatan dan Ketua-Ketua Jabatan di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, mana-mana pihak yang ditahan kerana menjual mercun atau bunga api tanpa kelulusan permit boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).
"Pihak polis juga akan terus menjalankan pemantauan terhadap kegiatan penjualan mercun, bunga api di bazar Ramadan dan premis setiap daerah bagi memastikan tiada peniaga yang menjualnya secara sembunyi," katanya.
Untuk rekod, Shafien berkata, hanya satu kes dilaporkan membabitkan kejadian mercun apabila seorang remaja lelaki berusia 14 tahun putus tiga jari tangan kanan selepas terkena mercun bola dalam kejadian di Kampung Lembah Beris Kubur Besar di Tawang, Bachok pada 14 April lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!