Arteta puji Nketiah
MIKEL Arteta memuji penyerangnya Eddie Nketiah yang membuktikan pengendali Arsenal itu salah apabila menjaringkan dua gol ketika membantu The Gunners mengatasi Chelsea 4-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, sekali gus menghidupkan peluang beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Malah tanpa berselindung Arteta mengakui dia tidak memberikan minit permainan yang cukup kepada Nketiah pada musim ini.
“Jika ada seorang pemain yang saya fikir telah tidak adil dengan saya fikir ia adalah dia... Hari ini dia menunjukkan kepada saya lagi betapa silapnya saya,” kata Arteta.
Masa depan pemain berusia 22 tahun itu di kelab London terus samar dengan kontraknya tamat pada penghujung musim selepas sebahagian besar penampilan musim ini bermula dari bangku simpanan.
Pada perlawanan itu, gol Arsenal dijaringkan Nketiah (13', 57'), Emile Smith Rowe (27') dan Bukayo Saka (92'), manakala jaringan Timo Werner (17') dan César Azpilicueta (32') mengurangkan defisit buat Chelsea.
Dalam pada itu, Arteta juga memuji Saka yang tenang mengambil penalti pertamanya sejak terlepas untuk England semasa kekalahan penentuan sepakan penalti kepada Itali di Euro 2020 tahun lalu.
“Sejujurnya perkara pertama yang saya fikirkan ialah dia kembali pada musim panas dan apa yang berlaku.
“Bagi dia mempunyai keberanian untuk mengatakan saya akan mengambilnya semula, kerana saya pasti ia berada di dalam fikirannya,” kata Arteta.
Sementara itu, Arteta menyifatkan kemenangan Arsenal merupakan dorongan besar dalam usaha kelab itu untuk layak ke Liga Juara-Juara menerusi penamat empat teratas liga.
“Saya berkata kepada mereka jika anda mahu bermain bola sepak Liga Juara-Juara, anda perlu datang ke peringkat besar dan menewaskan pasukan teratas itu. Malam ini kami telah melakukannya dan saya amat berbangga dengan mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!