Pemilik baharu Perak FC perlu utamakan kebajikan pegawai, pemain
PEMILIK baharu Perak FC diminta mengutamakan kebajikan pemain dan pegawai selepas mengambil alih pasukan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, beliau mahu melihat proses pengambilalihan oleh pemilik baharu berjalan lancar termasuk mereka perlu berusaha menjelaskan hutang lapuk pasukan terbabit.
"Saya telah berhubung dengan parti baharu (bakal pemilik) untuk pastikan mereka tahu dan jelas apa yang diperlukan MFL.
"Mereka ada sehingga 11.59 malam ini untuk selesai perkara ini dan harap dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pengumuman penajaan minyak masak jenama ALIF sebagai penaja Liga Malaysia yang turut dihadiri Pengarah Urusan Sime Darby Oils (SDO), Mohd Haris Mohd Arshad pada Khamis.
Sebelum ini, Perak FC yang beraksi dalam saingan Liga Premier musim ini terpalit dengan isu pertukaran pemilik sekali gus menjadi kelab pertama dihukum pemotongan tiga mata selepas gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama serta simpanan bagi musim 2021.
Bagai jatuh ditimpa tangga, Perak FC sekali lagi dikenakan hukuman pemotongan enam mata lagi dalam saingan Liga Premier, berdasarkan keputusan dibuat badan bebas, First Instance Body (FIB) berkuat kuasa serta-merta pada 15 April lepas.
Menurut FIB, hukuman dikenakan ke atas pasukan tersebut susulan kegagalan pasukan itu melunaskan baki tunggakan gaji, melibatkan pemain dan pegawai pasukan utama serta simpanan mereka setakat November tahun lepas, berdasarkan Akuan Berkanun (SD) dihantar pasukan itu bertarikh 15 Disember 2021.
Sekiranya tempoh tujuh hari dari tarikh hukuman kedua dibuat, dan bukti bayaran penuh ataupun persetujuan penyelesaian bersama masih tidak diserahkan kepada MFL pada atau sebelum 21 April, perkara tersebut akan dibawa ke Jawatankuasa FIB dan Ahli Lembaga MFL untuk tindakan seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!