'Kali ini sambut raya Aidilfitri tidak lagi dalam rumah buruk'

Rahmad (tiga,kiri) menyerahkan replika kunci sebagai simbolik menyempurnakan penyerahan rumah kepada Mohamed (kiri) dan Rohana (dua, kiri) di Duyong, pada Khamis.
Rahmad (tiga,kiri) menyerahkan replika kunci sebagai simbolik menyempurnakan penyerahan rumah kepada Mohamed (kiri) dan Rohana (dua, kiri) di Duyong, pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Hari Raya kali ini pastinya memberi kegembiraan kepada sebuah keluarga yang menetap di Duyong kerana tidak lagi menyambut Aidilfitri dalam rumah yang buruk.

Rohana Jalil, 50, berkata, setiap kali hari raya, anak-anaknya yang berusia dari 10 hingga 25 tahun tidak pernah mengajak rakan-rakan datang ke rumah kerana malu dengan keadaan kediaman mereka yang serba kekurangan.

"Anak-anak saya tidak pernah mengajak kawan-kawan datang beraya ke rumah kerana ada dalam kalangan mereka menghina kediaman buruk kami," luah Rohana selepas menerima rumah baharu menerusi program Rumah Prihatin Melaka, pada Khamis.

Majlis penyerahan replika kunci rumah itu disempurnakan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir, Datuk Rahmad Mariman di Duyong, pada Khamis.

Menurut Rohana, dia dan suaminya, Mohamed Ninggal, 54, yang merupakan pekerja landskap tidak pernah mengimpikan untuk memiliki kediaman baharu.

Kata wanita itu, pendapatan Mohamed hanya sebanyak RM1,300 sebulan manakala dia pula seorang suri rumah.

"Rumah baharu ini cantik. Tahun ini dapatlah anak-anak sambut hari raya Aidilfitri dengan seronok, " katanya lagi.

Sementara itu Mohamed berkata, dengan adanya rumah baharu itu, anak-anaknya tidak lagi perlu tidur berhimpit di ruang tamu rumah memandangkan jumlah ahli keluarga mereka bertambah selepas ada anak yang sudah berkahwin.

Kata Mohamed, dia memohon rumah baharu itu pada tahun 2019 setelah dimaklumkan oleh seorang individu yang prihatin dengan nasib keluarga mereka.

"Saya tidak menyangka permohonan kali pertama ini diluluskan tanpa sebarang masalah birokrasi.

"Di kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kerajaan negeri serta Jabatan Kerja Raya (JKR) yang merealisasikan pembinaan rumah ini kerana saya memang tidak mampu hendak buat rumah sendiri." katanya.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, program Rumah Prihatin Melaka merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan kediaman lebih baik.

Menurutnya, sebanyak 47 rumah siap dibina dan akan diserahkan kepada kerajaan negeri melalui Pegawai Daerah iaitu 21 unit di Daerah Melaka Tengah; 17 unit di Daerah Jasin dan selebihnya di Alor Gajah.

"Pembinaan rumah ini melibatkan reka bentuk rumah dua bilik berharga RM30,000 dan tiga bilik berharga RM37,500.

"Dengan penyerahan ini dapatlah mereka menyambut hari raya lebih meriah dengan keadaan rumah yang selesa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!