Penduduk laksana rondaan, bimbang keselamatan terancam
BANDAR BAHARU - Penduduk berdekatan Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap melahirkan kebimbangan berikutan insiden rusuhan membabitkan etnik Rohingya yang dikatakan mengancam keselamatan penduduk.
Mohamad Assraf Firdaus, 30, berkata, kewujudan depot tahanan yang hanya terletak bersebelahan beberapa kampung seperti Kampung Tengah Relau, Kampung Paya Semambu dan Kampung Kilang Batu telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk.
"Penduduk risau bila ada depot tahanan imigresen dekat sini, keselamatan orang tua dan kanak-kanak terancam, apa yang kami bimbang tu akhirnya terjadi semalam," katanya.
Menurut Mohamad Assraf, kejadian yang berlaku pada Rabu itu mencetuskan panik dalam kalangan orang kampung kerana melihat sendiri etnik Rohingya melarikan diri beramai-ramai dari depot tersebut.
"Semalam saya sempat ekori mereka dari belakang bersama rakan, bila cuba tangkap seorang tahanan, salah seorang dari mereka tendang kaki saya hingga menyebabkan motor terjatuh, kaki terseliuh. Hampir tercetus pergaduhan," katanya mujur rakan bantu meleraikan pergaduhan.
Bagi Muhammad Nur Amirul Maziduddin, 30, pula berharap kawalan keselamatan di depot tahanan diperketatkan bagi mengelakkan kejadian sedemikian berulang lagi.
"Selama ini penduduk rasa tidak selamat dengan kewujudan depot imigresen yang tidak jauh dari rumah penduduk.
"Justeru, kami minta kawalan keselamatan diperketatkan ke atas mana-mana pusat tahanan agar keselamatan penduduk terjamin," ujarnya.
Rentetan daripada isu tahanan Rohingya melarikan diri, Zakri Izham, 24, dan penduduk terpaksa melakukan rondaan di kawasan pedalaman termasuk ladang kelapa sawit.
Menurutnya, rondaan dilakukan bermula pada hari kejadian (Rabu) bagi membantu pihak berkuasa dan memastikan keselamatan penduduk terjamin.
"Hari ini kami teruskan buat rondaan sebab bimbang sekiranya tahanan bertindak di luar kawalan," katanya.
Selain itu, Syamsuddin Che Adni, 29, dan Mohd Solehin Sarifudin, 21, berkata, penduduk kampung khususnya anak muda bersedia membantu pihak berkuasa sekiranya diperlukan dalam usaha mencari tahanan yang masih diburu serta berharap tahanan yang lolos dapat diberkas segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!