Qunut nazilah, Jawi mohon doakan kesejahteraan Palestin

Mohd Ajib
Mohd Ajib
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyarankan semua masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan mengadakan bacaan doa qunut nazilah untuk mendoakan kesejahteraan Palestin.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata, Palestin kini berdepan konflik susulan tragedi pencerobohan ke atas Masjid Al- Aqsa oleh Israel.

"Bacaan doa tersebut perlu dilakukan semasa solat Subuh, solat Jumaat dan solat sunat witir sepanjang Ramadan bermula pada Khamis.

"Sesungguhnya doa dan munajat yang dipanjatkan ke hadrat Allah SWT dalam bulan Ramadan yang mulia adalah lambang solidariti berpanjangan umat Islam untuk perjuangan rakyat Palestin," katanya.

Pada Rabu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff memaklumkan Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin akan melaksanakan bacaan doa qunut nazilah semasa solat sunat witir setiap malam bagi mendoakan keselamatan dan keamanan umat Islam di Palestin.

Hakimah berkata, pihaknya turut memohon Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh Malaysia untuk mengadakan bacaan doa qunut nazilah di semua masjid dan surau di bawah seliaan masing-masing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!