PN nafi berbincang untuk jatuhkan pihak tertentu

Hamzah berucap sempena Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pusat Persidangan Movenpick, pada Khamis. Foto Bernama
Hamzah berucap sempena Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pusat Persidangan Movenpick, pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Perikatan Nasional (PN) menafikan mengadakan perbincangan dalaman untuk menjatuhkan pihak tertentu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, gabungan tersebut tidak pernah melakukan perkara seperti itu susulan dikaitkan dengan penularan di media sosial beberapa dokumen dikatakan minit mesyuarat PN.

“Saya tak pernah lakukan perkara-perkara seperti ini. Itu bukan kerja saya.

“Betul apa yang Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kata, ini satu 'dokumen sampah' yang sepatutnya rakyat tidak ambil kisah,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni, pada Khamis.

Pada Ahad lalu, beberapa dokumen yang dikatakan minit mesyuarat PN tular di media sosial, didakwa berkaitan dengan pertemuan antara Ahmad Samsuri bersama Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta beberapa pemimpin parti lain pada 24 dan 27 Mac serta 4 dan 7 April.

Antara pemimpin yang dinyatakan dalam minit itu ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad; Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Hamzah.

Pada Rabu, Ahmad Samsuri menafikan perkara itu dan menyifatkan dokumen yang ditularkan sebagai 'sampah' serta tidak perlu dipercayai kerana dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun Hamzah, mengakui bahawa Ahmad Samsuri ada berjumpanya dan tidak menafikan perkara terbabit.

“Betul, dia ada datang jumpa saya sebab dalam PN sudah tentu jumpa rakan-rakan kita terutama nak bincang bedah siasat pilihan raya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!