Damok janji aksi terbaik di Portimao, Jerez
PELUMBA negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok, berazam melakukan yang terbaik bersama pasukan Snipers pada Kejuaraan Dunia Moto3 di Portimao dan Jerez.
Menurut Syarifuddin yang beraksi bagi menggantikan pelumba, Alberto Surra, kedua-dua perlumbaan tersebut akan dijadikan sebagai persiapan beraksi di FIM JuniorGP dalam kategori Moto3 bersama SIC Racing, Mei depan.
Justeru katanya, peluang beraksi secara wild card di Portimao hujung minggu ini diikuti Jerez selepas itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mempersiapkan dirinya menjelang FIM JuniorGP
“Saya akan cuba berikan yang terbaik pada kedua-dua GP di Portimao dan Jerez nanti dan menjadikannya sebagai persiapan saya untuk ke FIM JuniorGP.
“Pada mulanya memang agak gementar, tetapi saya perlu mengambil peluang menyertai kedua-dua perlumbaan di Portimao dan Jerez dan menjadikannya sebagai medan saya membuat persediaan,” katanya pada Rabu.
Mengulas mengenai latihan sepanjang Ramadan, Syarifuddin berkata, dia tetap berpuasa ketika menjalani latihan di bawah pengawasan jurulatihnya.
Bagaimanapun katanya, dugaan dan ujian dihadapi sepanjang Ramadan sememangnya mencabar, namun dia perlu memastikan dirinya tetap berpuasa.
“Kalau nak cerita pasal dugaan memang banyak. Ketika kita berlatih, ada pula pelumba yang datang dan minum air depan kita.
“Apa pun, bagi saya itu semua cabaran dan dugaan yang perlu diharungi pada bulan Ramadan,” katanya.
Sementara itu, Syarifuddin mengakui 2022 merupakan tahun yang penting buatnya dalam usaha mengintai peluang bersama pasukan luar bagi membolehkannya bersaing di peringkat lebih tinggi pada masa depan.
Justeru katanya, dia bertekad fokus dan memberi aksi lebih 100 peratus bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!