ACL 2022: JDT perkukuh cengkaman kumpulan
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) memperkukuhkan cengkaman saingan peringkat Kumpulan I Liga Juara-Juara (ACL) 2022 walaupun sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan Kawasaki Frontale dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis.
Selepas menamatkan tiga perlawanan, Harimau Selatan pimpinan Benjamin Mora mengumpul tujuh mata manakala Azzurro Nero asuhan Toru Oniki mengumpul lima mata di tempat kedua setelah masing-masing mengharungi tiga perlawanan.
Permainan kedua-dua pasukan seimbang menyaksikan jentera serangan JDT dan Frontale saling melakukan percubaan ke arah gawang gol lawan yang menuntut persembahan lima bintang Farizal Marlias dan Jung Sung-ryong dalam mengawal gawang masing-masing.
Anak buah Oniki melakukan enam percubaan manakala anak didik Mora melakukan lapan percubaan dengan satu percubaan tepat berjaya dihasilkan Harimau Selatan.
Juara, Liga Super dan juara Liga 1 Jepun (J1 League) itu bakal berentap sekali lagi Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad ini.
Sementara itu, Ulsan Hyundai kembali menghidupkan saingan apabila mudah mengatasi cabaran kelab dari liga China, Guangzhou 3-0 dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin.
Ulsan yang diikat Kawasaki Frontale pada perlawanan pembukaan sebelum dijinakkan JDT selepas itu memulakan aksi dengan gol dihasilkan pemain import Hungary, Márk Koszta minit ke-28 untuk mendahului babak pertama 1-0.
Pada babak kedua, giliran Park Chu-young (57') dan Yun Il-Lok (68') mencetak nama dalam senarai penjaring untuk menjadikan kedudukan 3-0 sehingga tamat perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!