UUM agih zakat hampir RM500,000

Haim Hilman (tiga kiri) menyerahkan bantuan zakat buat pelajar UUM di Masjid Sultan Badlishah UUM pada petang Khamis. Hadir sama Zakaria (dua dari kiri). - Foto UUM
Haim Hilman (tiga kiri) menyerahkan bantuan zakat buat pelajar UUM di Masjid Sultan Badlishah UUM pada petang Khamis. Hadir sama Zakaria (dua dari kiri). - Foto UUM
A
A
A

SINTOK - Universiti Utara Malaysia (UUM) mengagihkan sebanyak RM471,600 zakat kepada golongan asnaf bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Menurut Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah, kategori asnaf yang menerima sumbangan ialah Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM, pelajar UUM bagi bantuan sara hidup, staf UUM bagi bantuan yuran persekolahan anak, perubatan staf dan anak, anak berstatus orang kurang upaya (OKU) serta komuniti setempat melibatkan seramai 1,827 penerima.

"Daripada kategori tersebut, seramai lapan orang adalah anak yatim dari Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM, pelajar UUM seramai 1,539 orang, staf UUM untuk biayai yuran persekolahan seramai 209 orang, staf UUM yang sakit seramai enam orang, anak staf berstatus OKU seramai 22 orang, anak staf atau pasangan yang sakit mudarat seramai 10 orang dan komuniti setempat seramai 33 orang.

"Lembaga Zakat Negeri Kedah adalah penyumbang terbesar khususnya untuk Dana Zakat UUM iaitu sebanyak RM340,445.78 yang akan digunakan untuk membantu asnaf termasuk pelajar UUM," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Iftar Perdana UUM di Masjid Sultan Badlishah UUM pada Khamis.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Datuk Syeikh Zakaria Othman serta wakil NNZA Textile Sdn. Bhd. (operator Jakel Trading Sdn. Bhd. Cawangan Alor Setar), Mohd Zamri Anuar.

Mengulas lanjut, Haim Hilman berkata, sebanyak 60 bakul Ramadan turut diagihkan kepada staf UUM, Uniutama Properties Sdn Bhd (UPSB) dan masyarakat setempat terdiri daripada balu yang mempunyai tanggungan anak yatim.

Menurutnya, bingkisan Ramadan juga diagihkan kepada 100 pelajar kategori B40, selain sumbangan baju raya dengan kerjasama Jakel Cawangan Alor Setar kepada lapan anak yatim Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM dan 22 pelajar asnaf UUM.

"Sebagai tanda prihatin, pihak UUM turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada staf di Pusat Kesihatan Universiti, Nurul Syawanie Saidin yang menghidap kanser kelenjar limfoma Hodgkin. Penyerahan disampaikan kepada suaminya, Muhammad Parli Abu Hassan.," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!