Klinik bergerak mingguan buat gelandangan di Melaka

Dr Muhamad Akmal
Dr Muhamad Akmal
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka sedang merangka pelan strategik untuk menyediakan perkhidmatan klinik bergerak dan pasukan khas bagi meningkatkan tahap kesihatan gelandangan.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, walaupun jumlah gelandangan di Melaka tidak ramai seperti di bandar raya Kuala Lumpur, isu kesihatan mereka tetap menjadi keutamaan kerajaan negeri.

"Berbeza di Kuala Lumpur, di sana ada pusat transit yang hampir semua kemudahan termasuk kesihatan disediakan memandangkan jumlah gelandangan yang agak ramai.

"Di Melaka, jumlahnya tidak besar dan sebab itulah kita cadang mahu wujudkan klinik bergerak ini yang akan menyediakan perkhidmatan mungkin secara mingguan kepada golongan ini dengan segera,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Dr Muhamad Akmal berkata, perkhidmatan klinik bergerak itu penting memandangkan gelandangan mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah seterusnya mendorong mereka tidak mahu berurusan di klinik kesihatan atau klinik desa bagi mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyakat dalam mendapatkan maklumat dan data terperinci bagi mengoptimumkan kehadiran gelandangan ke klinik bergerak tersebut.

"Melalui data tersebut kita akan dapat kenal pasti lokasi terbaik untuk klinik bergerak ini, kena cari kawasan yang mudah untuk gelandangan datang," katanya.

Mengenai pasukan khas terdiri daripada doktor sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Dr Muhamad Akmal berkata, ia akan membolehkan gelandangan mendapat akses kesihatan lebih baik kerana kebanyakan mereka mempunyai penyakit kulit selain tidak mendapat vaksinasi sempurna termasuk vaksin Covid-19.

Menjelas lanjut, beliau berkata kewujudan gelandangan di Melaka kebanyakannya bukan disebabkan kemiskinan, tetapi lebih kepada faktor penagihan dadah atau dibuang keluarga kerana masalah dalaman. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!