Mark Zuckerberg dilarang masuk Rusia

Mark Zuckerberg
Mark Zuckerberg
A
A
A
MOSCOW - Rusia pada Khamis melaksanakan larangan perjalanan terhadap Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris dan Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg ke negaranya.

Larangan itu turut dikenakan kepada berpuluh-puluh rakyat Amerika dan Kanada yang lantang mengkritik Rusia ke atas peperangan di Ukraine.

Kementerian Luar Rusia berkata, sekatan perjalanan ke atas 29 warga AS dan 61 warga Kanada terdiri daripada pegawai pertahanan, pemimpin perniagaan dan wartawan dari kedua-dua negara tersebut.

Di Washington, salah seorang pegawai yang menjadi sasaran sekatan tersebut iaitu jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price.

"Saya harus menyatakan bahawa ia tidak kurang daripada satu pujian untuk mendapat kemarahan kerajaan yang membohongi rakyatnya sendiri, menganiaya jirannya dan berusaha untuk mencipta dunia yang mana kebebasan telah 'dilarikan'," katanya kepada pemberita.

AS telah mengetuai usaha antarabangsa untuk mengenakan sekatan menyeluruh ke atas Rusia berikutan operasi ketenteraannya di Ukraine sehingga menyebabkan ekonominya turut menerima kesan akibat pelaksanaannya.

Rusia sebelum ini telah mengharamkan Facebook dan Instagram yang merupakan sebahagian daripada empayar Meta milik Zuckerberg dengan melabelkan kedua-dua media sosial itu sebagai organisasi pelampau.

Antara individu yang termasuk dalam senarai sekatan masuk ke Rusia ialah Presiden AS, Joe Biden; anaknya, Hunter Biden; Setiausaha Negara AS, Antony Blinken; Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin; Penasihat Keselamatan AS, Jake Sullivan; Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns; Pengerusi Ketua Staf Bersama Tentera AS, Jeneral Mark Milley; Setiausaha akhbar Rumah Putih, Jen Psaki dan Timbalan Penolong Penasihat Keselamatan AS, Duleep Singh. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!