Masjid Al-Alami lokasi World #QuranHour Melaka

Nur Atikah (dua, kiri) ketika mempromosikan program #QuranHour
Peringkat negeri Melaka di Masjid Al-Alami di MITC, Ayer Keroh, di sini, pada Jumaat.
Nur Atikah (dua, kiri) ketika mempromosikan program #QuranHour Peringkat negeri Melaka di Masjid Al-Alami di MITC, Ayer Keroh, di sini, pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Masjid Al-Alami di MITC, Ayer Keroh, di sini, bakal melakar sejarah apabila akan menghimpunkan kira-kira 500 orang dalam program World #QuranHour pada 26 April ini.

Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Melaka, Nur Atikah Amir, berkata, ia julung kali diadakan secara besar-besaran selepas dua tahun tidak dapat dilaksanakan dengan bilangan peserta yang ramai akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, program ini begitu dinantikan oleh pencinta al-Quran untuk berkumpul dalam masjid dan mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran dengan pemilihan surah pada kali ini iaitu Surah As-Sajdah.

Katanya, dijangka Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam akan menghadiri program itu yang dianjurkan bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan agensi lain seperti Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM).

"Alhamdulillah menerusi program ini dapat menarik masyarakat Islam di Melaka untuk bersama mengalu-alukan ayat suci al-Quran yang juga diadakan serentak di negeri lain.

"Ia bukan sahaja disertai peserta Rumah Ngaji sekitar Melaka bahkan akan dimeriahkan dengan penyertaan dalam kalangan penjawat awam negeri ini," katanya ketika ditemui di Ayer Keroh di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Nur Atikah berkata, kira-kira 13 'hotspot' yang juga lokasi Rumah Ngaji di Melaka seperti surau di taman perumahan mahupun kampung dipilih untuk menjayakan program tersebut.

Menurutnya, program ini sekali gus berjaya mengangkat budaya tadarus al-Quran dalam kalangan masyarakat dan memaparkan semangat tinggi peserta untuk bersama menyebarkan syiar Islam.

"Meskipun hanya sejam yang diluangkan namun tetap memberi makna kerana alunan ayat suci mampu memberi ketenangan pada jiwa yang mendengarnya," katanya.

Program pada Selasa ini akan dimulakan dengan sesi tadarus al-Quran diikuti majlis khatam al-Quran sebelum berlangsungnya World #QuranHour jam 12 tengah hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!