Bapa sebak lihat pencapaian Asif
KOTA BHARU - Populariti diraih selebriti YouTube, Asif atau nama sebenarnya Muhammad Asyiff Suhaimi, 20, selepas menceburi bidang lakonan menerusi Drama Spontan banyak memberi perubahan positif kepada perkembangan sosial pemuda orang kurang upaya (OKU) itu.
Perkara tersebut turut dikongsikan bapanya, Suhaimi Yusof, 59, yang memberitahu bahawa anak kelapan daripada 10 beradik itu yang dikesan menghidap mild autisme dan lembab pembelajaran seawal usia sembilan tahun dahulunya tidak mampu berkomunikasi atau bersosial dengan rakan sebaya selain lebih gemar menyendiri.
Bagaimanapun katanya, keadaan berubah kini apabila dia sudah mula pandai bergaul dengan orang ramai.
“Dulu, orang nak sentuh dia pun tak boleh langsung. Kami ibu bapanya pun dia tak bagi kami nak pegang-pegang dia.
“Sekarang dah lain, kami dah boleh peluk dia, dia pun dah pandai bergaul dengan orang ramai dan bijak melayan peminat yang meminta untuk bergambar dengannya,” ujarnya sebak ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Muqarrabun Peringkat Negeri Kelantan 2022 di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik) Pengkalan Chepa di sini pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi.
Asif pada majlis itu menerima anugerah Tokoh Selebriti OKU Kelantan yang pertama atas kejayaaan melakonkan watak bersahaja dalam beberapa drama pendek berdialek Kelantan di bawah produksi sepupunya, Syahmi Sazli Productions.
Antara drama pendek yang pernah dilakonkan adalah Baso Jate Pilih Rupo pada tahun 2017, Drama Spontan (2019) dan Mail Totey (2020) manakala filem pula ialah Syif Malam Raya (2020), Mail Totey The Movie (2020) dan 35MM (2022).
Bapanya turut berbangga dengan pencapaian diraih anak OKU itu dan pada masa sama turut bersedih apabila Asif terlalu sibuk menjalankan penggambaran filem atau drama di luar negeri dari Kelantan.
“Dia anak yang sangat baik dan sangat rapat dengan saya. Kalau dia pergi 'shooting' kebanyakannya dalam tempoh yang agak lama ada sampai sebulan.
“Saya jadi sedih sebab rindukan dia tetapi saya tidak lupa untuk tetap bersyukur atas kegembiraan dan rezeki yang ALLAH berikan kepada Asif sehingga kami sekeluarga juga dapat merasainya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!