Jelajah Op Selamat ke-18, PDRM-Petronas didik pemandu

A
A
A

SERI KEMBANGAN - [DIKEMASKINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk melaksanakan Program Jelajah Op Selamat ke-18 dan Program 'Go To The Safety Points' (GTSP) di seluruh negara selama tiga hari bermula Jumaat.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, kedua-dua program tersebut memberi penekanan keselamatan pengguna jalan raya dan advokasi berkenaan undang-undang trafik supaya pemandu lebih berhemah.

"Jelajah Op Selamat 18 akan bermula dari 22 hingga 24 April dengan melibatkan 47 buah stesen minyak Petronas di lokasi terpilih mengikut zon di semua negeri.

"Turut didedahkan peranan GTSP kepada orang ramai sekiranya berlaku situasi kecemasan dan tindakan awal sebelum bantuan tiba memandangkan ramai di kalangan mereka bergerak balik ke kampung sempena cuti Hari Raya Aidilfitri," katanya ketika menyempurnakan majlis pelancaran program tersebut di Stesen Petronas Solaris Putra, pada Jumaat

Majlis turut disaksikan oleh Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalangan; Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dan Ketua Keselamatan Kumpulan Petronas, Datuk Seri Zulkifili Abdullah.

Mat Kasim berkata, inisiatif tersebut dijalankan untuk memastikan masyarakat lebih cakna terhadap keselamatan jalan raya memandangkan masih ramai pemandu yang didapati masih ingkar peraturan trafik semasa Op Selamat ke-17 sempena Tahun Baharu Cina pada Februari lalu.

"JSPT dan Petronas melancarkan Jelajah Op Selamat ke-18 ini bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya. Kami akan pergi ke stesen minyak terpilih dan sama-sama memberi advokasi kepada masyarakat agar keselamatan mereka terjamin," katanya.

Katanya, 47 stesen minyak terpilih itu melibatkan enam zon iaitu Zon Tengah (Kuala Lumpur, Selangor); Utara (Kedah,Pulau Pinang, Perak); Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang); Selatan (Johor, Melaka, Negeri Sembilan); Sabah (Kota Kinabalu, Papar, Penampang) dan Sarawak (Kuching, Padawan, Kota Samarahan).

Sementara itu, beliau berkata, Op Selamat ke-18 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 masih mengekalkan tema 'Rumah selamat, selamat sampai ke destinasi' yang dijangka dilancarkan pada 26 April ini di peringkat induk dan mula beroperasi dari 29 April hingga 8 Mei depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!