[VIDEO] Rumah uzur, warga emas tetap pilih hidup sendiri

Muhamad berkerusi roda untuk memudahkan pergerakannya lebih selesa tinggal di rumah sendiri Rumah Rakyat Panchor, Seremban.
Muhamad berkerusi roda untuk memudahkan pergerakannya lebih selesa tinggal di rumah sendiri Rumah Rakyat Panchor, Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang warga emas memilih untuk terus tinggal sendirian di rumahnya walaupun serba kekurangan di Rumah Rakyat Panchor di sini kerana enggan menyusahkan mana-mana pihak.

Meskipun pernah diajak untuk tinggal di rumah kebajikan orang tua, namun Muhamad Haron, 73, menolak kerana lebih selesa hidup sendiri.

"Walaupun rumah bocor dan rosak sana sini, saya lebih suka duduk di sini kerana tiada siapa ganggu.

"Lagipun mudah untuk saya ke sana sini berbanding duduk di rumah orang tua. Lagipun saya risau tak boleh tidur, " katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Perkasih N9 di sini pada Khamis.

Keadaan di dalam rumah Muhamad di Rumah Rakyat Panchor, Seremban.
Keadaan di dalam rumah Muhamad di Rumah Rakyat Panchor, Seremban.

Muhamad yang mempunyai sembilan anak hasil perkahwinan dengan empat isteri sebelum ini pernah tinggal dengan anak perempuannya selama sebulan di Subang, Selangor, namun memilih untuk tinggal semula di Rumah Rakyat Panchor kerana lebih selesa.

Katanya, tujuh daripada anaknya pula tinggal di Singapura.

"Anak nak sewakan saya rumah lain tapi saya yang tak mahu. Memang saya yang pilih tinggal di sini.

"Rumah ini ok, cuma ada bocor di dapur dan kotor kerana saya tak mampu bersihkan selain air yang sangat perlahan," katanya.

Selain itu, warga emas tersebut memberitahu pernah tinggal di rumah berkenaan dengan hanya bertemankan cahaya lilin selama 14 tahun kerana elektrik telah dipotong tetapi disambung semula atas keprihatinan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Bagi meneruskan hidup, Muhamad bergantung melalui hasil jualan buah kelapa serta duit bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300.

"Saya memang tak kisah pun hidup begini kerana percaya ia ketentuan ALLAH.

"Ada yang datang menjenguk saya menangis tengok rumah saya, sedangkan saya sendiri tak sedih," katanya.

Berkenaan kesihatannya, Muhamad memberitahu mempunyai sakit darah tinggi dan gout yang memerlukan rawatan susulan selain menyebabkannya tidak mampu berdiri lama dan perlu berjalan menggunakan tongkat.

"Kaki saya ini doktor pernah beritahu nak potong tapi saya tak mahu. Jadi sekarang, saya makan ubat beli di farmasi saja," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9, Norfadilah Mansor berkata, pasukannya akan mengadakan gotong-royong membersihkan rumah warga emas berkenaan, esok selain turut memasang kipas dan lampu yang telah rosak bersama NGO Amal Team dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!